top of page
  • cik skod

Bajet 2023 fokus perkasa belia, sukan


JOHOR BAHRU, 13 Sept – Kementerian Belia dan Sukan berharap Bajet 2023 yang dijadualkan dibentang 7 Oktober depan akan memberi tumpuan kepada pembangunan belia, selain memperkasakan sukan.


Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata, program seperti Malaysia Future Leader School (MFLS) perlu diberi keutamaan bagi memberi pendedahan dan tanggungjawab kepada golongan berkenaan.


Beliau berkata, program MFLS itu mampu menyemarakkan lagi potensi belia sebagai pemimpin, memberi pendedahan kepada belia mengenai tanggungjawab mereka, termasuk melalui Undi18.

“Ini adalah usaha yang jauh lebih penting daripada sukan, yang perlu kita laksanakan. Saya percaya, Kementerian Kewangan akan memberi kita peruntukan secukupnya bagi memastikan program sebegini dapat dilaksanakan,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Stadium Mini Arena di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda, di sini, hari ini.


Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, program MFLS di bawah Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) itu berdasarkan berdasarkan tujuh elemen iaitu kepemimpinan, kenegaraan, pembentukan watak dan jati diri, keusahawanan, kesukarelawan, komunikasi dan pengantarabangsaan.


Menerusi program itu juga, katanya, belia didedahkan kepada pelbagai pengisian seperti bicara tokoh, pengenalan sukarelawan, lawatan institusi dan parlimen belia bagi memberi pendedahan secara langsung kepada peserta.


Beliau berkata, program yang dilaksanakan di bawah Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) itu kini memasuki tahun ketiga dan sudah melatih seramai 65,931 peserta di Tier 2 serta 545 orang di Tier 3.


Selain itu, Ahmad Faizal berkata, kementeriannya juga sentiasa memperkasakan industri sukan, antaranya melalui pembudayaan sukan menerusi program seperti Malaysia Sport League (MSL)’, Malaysia Little League (MLL) dan e-sport.

“Apabila ini semua dibudayakan, limpahan ekonomi kepada negara akan menjadi lebih besar. Pertamanya, rakyat cerdas dan sihat, maka dalam jangka masa panjang kita tidak perlu menggunakan peruntukan besar melalui Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kedua, berlaku limpahan ekonomi apabila semua pemain perlu peralatan sukan dan perkakasan sukan. Ini akan mendatangkan pulangan kembali kepada kerajaan.

“Ia juga memberi peluang pekerjaan kepada kepada bekas atlet, jadi lebih besar sebenarnya limpahan pada rakyat,” katanya.

bottom of page