• admin

Bajet 2023: RM15 bilion untuk Rancangan Tebatan Banjir sehingga 2030


KUALA LUMPUR,7 OKT: Melalui Bajet 2023, kerajaan memperuntukkan RM15 bilion bagi Rancangan Tebatan Banjir sehingga 2030 sebagai strategi jangka panjang dalam usaha beradaptasi dengan perubahan iklim di seluruh negara.


Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebahagian besar projek akan dianugerahkan pada tahun depan dengan anggaran perbelanjaan RM700 juta.


“Antara projek utama yang digerakkan termasuklah, pertama, pelaksanaan projek empangan Sabo bernilai RM562 juta di 46 lokasi seluruh negara bagi mengurangkan risiko banjir puing dan banjir lumpur seperti tragedi banjir di Baling, Kedah.

“Kedua, pembinaan kolam takungan dwifungsi bernilai hampir RM2 bilion melibatkan jajaran di sepanjang Sungai Klang dan Sungai Rasau, Selangor sebagai strategi serampang dua mata mengatasi masalah banjir dan sebagai sumber penyimpanan bekalan air mentah.


“Ketiga, projek fasa tambahan Lembangan Sungai Bersepadu di Sungai Golok, Kelantan hampir 500 juta ringgit.


“Keempat, penaiktarafan sistem ramalan cuaca bagi memperkasa ramalan dan amaran banjir di peringkat nasional,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 di bangunan Parlimen pada Jumaat.


Tambah beliau, kerajaan juga akan memperuntukkan RM174 juta untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pada tahun hadapan.


“Sebagai langkah persediaan proaktif, Kementerian Kewangan akan terus menyalurkan tambahan 400 juta ringgit kepada Nadma supaya bersiap siaga membantu dengan segera jika berlaku banjir pada hujung tahun ini.


“Bagi tahun 2023, Kerajaan telah menyediakan peruntukan awal berjumlah RM100 juta di bawah Tabung Bantuan Bencana Negara dan Kementerian Kewangan bersedia untuk menambahkan peruntukannya mengikut keperluan,” ujarya.


“Sebagai langkah persediaan Angkatan Tentera Malaysia menghadapi sebarang bencana, dua buah hospital medan tambahan melibatkan kos RM47 juta akan siap pada hujung tahun ini di Kluang, Johor dan Kota Kinabalu, Sabah,” ujarnya.


Sebagai tambahan, sebanyak 50 unit ambulans juga akan ditempatkan di kem tentera, sedia untuk dikerahkan untuk membantu jika berlaku bencana.