top of page
newsatmy

BAM mahu bentuk skuad elit remajaBernama


KUALA LUMPUR,22 Ogos: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bercadang untuk membentuk sebuah skuad elit remaja pada masa depan kata Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.


Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan bersama Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh dan Pengarah Pembangunan Remaja Datuk Misbun Sidek, bagi menubuhkan skuad berkenaan dalam usaha memberi pendedahan lebih banyak kepada ubi muda berumur antara 16 hingga 18 tahun, beraksi di peringkat tertinggi antarabangsa.


"Kita masih belum ada skuad sebegini, mereka tidak perlu tunggu lagi (masuk ke peringkat senior), di mana skuad ini boleh sertai terus kejohanan seperti siri antarabangsa. "Fokus saya untuk masa hadapan ialah dalam satu peringkat tertinggi senior kita ada pemain-pemain utama BAM, pemain profesional dan ditambah pula dengan enjin baharu iaitu barisan elit remaja, yang akan dihantar berlawan (dalam kejohanan sama)," katanya kepada pemberita pada hari terakhir Kejohanan Bawah-18 tahun Kebangsaan di sini, pada Ahad.

Mohamad Norza menjelaskan sudah masanya Malaysia mengambil contoh diguna pakai oleh Korea Selatan serta Thailand, yang dilihat berani mempertaruhkan pemain remaja mereka pada kejohanan di peringkat tertinggi ketika ini.


"Kita dapat lihat jika di Korea Selatan mereka ada An Se Young, yang mula bermain di peringkat tertinggi sejak umur 16 tahun dan Thailand pula ketengah pemain muda di peringkat sama," tambahnya.


Walaupun baru berusia 20 tahun, namun reputasi dimiliki Se Young boleh dikatakan amat gah, kerana berjaya menduduki ranking ketiga perseorangan wanita dunia ketika ini, selain membantu pasukannya menamatkan kemarau 12 tahun untuk menjuarai Piala Uber di Bangkok, Thailand, Mei lepas, dengan menumpaskan juara bertahan, China, 3-2.


Sementara itu, Misbun berpuas hati dengan prestasi dipamerkan anak didiknya di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara dalam kejohanan kali ini, selain memuji persembahan pemain yang mewakili negeri lain pada kejohanan yang bermula Rabu lepas.


Ditanya mengenai pemain yang mencuri perhatiannya, beliau tanpa berselindung memaklumkan dua pemain V. Poopathi dan Eogene Eon Ewe, berpotensi untuk menjadi pemain negara satu hari nanti.


Sementara itu, Muhammad Ariffin Md Zakaria dari Johor membuat kejutan, apabila menumpaskan pemain BAM Lee Jan Jireh, 22-20, 21-18 untuk dinobatkan sebagai juara perseorangan lelaki.


Kategori perseorangan wanita pula diungguli wakil BAM Siti Zulaikha, yang menewaskan pemain Selangor Eng Ler Qi, 21-11, 21-14.


-- BERNAMA

Kommentare


bottom of page