• newsatmy

Banduan lolos ditangkap semula, motosikal terbabas ke dalam tali air

28 Mac 2021

KOTA BHARU: Pemburuan banduan yang lolos dari Penjara Pengkalan Chepa pada Sabtu berakhir apabila dia berjaya ditangkap semula sekitar jam 5 pagi tadi.


Banduan berkenaan ditahan ketika bersembunyi di sebatang tali air di kampung Terbak, Tumpat.


Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner, ACP Abdul Rahim Daud berkata terdahulu suspek, Mohamad Soolleh Mohd Noor, 31, melarikan diri menaiki sebuah motosikal sebelum terbabas di kawasan tali air berkenaan.


"Anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu serta anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Tumpat telah mengekori suspek yang menunggang motosikal di kawasan Masjid Kelaboran, Tumpat, Kelantan.


"Suspek berjaya ditangkap ketika sedang bersembunyi di dalam parit tali air setelah motosikal yang ditunggangnya terbabas ke dalam tali air di Kampung Terbak," katanya dalam satu kenyataan.


Katanya hasil soal siasat awal suspek mengaku telah melarikan diri dari Penjara Pengkalan Chepa semalam, sekitar jam 10 pagi.


Semalam media melaporkan banduan berkenaan berjaya melarikan diri dengan memanjat pagar di kawasan menara Penjara Pengkalan Chepa.


Banduan berkenaan merupakan suspek bicara bagi kes di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan mula ditahan di Penjara Pengkalan Chepa sejak Isnin lalu.


Beliau berkata suspek terbabit mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.


Polis mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan.


- Astro Awani


Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.