• newsatmy

Bangunkan aplikasi gaya hidup Muslim, Fazura mahu kongsi manfaat kepada semua umat Islam

6 April 2022

PELAKON, penyanyi dan usahawan Nur Fazura menjelaskan, pelancaran aplikasi gaya hidup muslim, Mukmin Pro bakal memberi manfaat kepada semua pengguna, khususnya seluruh umat Islam sepanjang bulan Ramadan ini.


Fazura berkata, pembangunan aplikasi berkenaan dibuat secara teliti memandangkan kandungan dan ciri-ciri yang ada dapat menjadi pelengkap kepada aktiviti harian para pengguna.


“Saya memang suka aplikasi gaya hidup seperti ini. Macam Mizz Nina, dia ada aplikasi Qalby dan saya sendiri pernah tolong promosikan.

"Kemudian terdetik dalam hati, alangkah bagus kalau saya sendiri ada aplikasi yang boleh beri manfaat kepada semua orang.


“Jadi, apabila pembangun aplikasi Huzaifa datang bertemu saya dan menyatakan hasrat ingin berkolaborasi, saya menjadi teruja. Saya anggap ini adalah hadiah daripada Allah untuk saya.


“Sama seperti mana saya memuji aplikasi Mizz Nina, saya ingin aplikasi ini sama-sama memberi manfaat kepada semua orang,” ujar Fazura kepada Gempak ketika ditemui pada majlis pelancara Mukmin Pro di ibu kota baru-baru ini.


Menyentuh mengenai keistimewaan aplikasi berkenaan, Faz berkata, antara ciri menarik yang perlu dicuba oleh pengguna adalah ciri penentu arah kiblat.


“Kita sering keliru apabila ingin mencari arah kiblat, khususnya apabila ingin solat di luar.

"Sesetengah aplikasi tidak berapa tepat dalam menunjukkan arah kiblat. Namun, menerusi Mukmin Pro, arah kiblat memang dijamin tepat.


“Selain itu, ciri-ciri seperti fungsi getaran turut dimuatkan bagi memudahkan orang kurang upaya untuk menggunakan aplikasi ini,” katanya lagi.


Selain itu, aplikasi yang menjanjikan keselamatan data ini turut didatangkan dengan kandungan video yang ditapis dan juga kemudahan-kemudahan lain seperti ibadah korban dan infaq makanan.


Aplikasi Mukmin Pro boleh dimuat turun menerusi Google Play Store dan Apple App Store secara percuma.