top of page
  • newsatmy

Banjir jejaskan operasi MSM, catat kerugian bersih Q4 berjumlah RM16.16 juta

23 Februari 2022

KUALA LUMPUR: MSM Malaysia Holdings Bhd merekodkan kerugian bersih berjumlah RM16.16 juta bagi suku keempat (Q4) berakhir 31 Disember 2021 berbanding untung bersih RM56.22 bagi tempoh sama 2020.


Kerugian ini disebabkan margin kasar yang lebih rendah susulan kos bahan mentah, pengangkutan dan gas yang lebih tinggi pada suku semasa, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia semalam.


Bagaimanapun, pendapatan bagi tempoh itu meningkat kepada RM642.02 juta berbanding RM630.33 juta disumbangkan terutamanya oleh premium yang lebih tinggi tetapi dihalang oleh volum yang lebih rendah disebabkan permintaan berkurangan kerana penggunaan belum pulih ke tahap sebelum COVID-19.

Pada suku dikaji, banjir kilat pada 18 dan 19 Disember telah menjejaskan sebahagian besar kawasan di Selangor, termasuk gudang sementara gula bertapis kumpulan yang terletak di Kota Kemuning.


Ia turut terjejas akibat banjir dan tuntutan insurans berkenaan dengan inventori yang terjejas telah dilakukan. Kini, penilaian penuh kerosakan sedang berjalan.


Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2021 (FY21), MSM mencatatkan pendapatan lebih tinggi sebanyak RM2.26 bilion berbanding RM2.18 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.


Kumpulan juga merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM125.35 juta berbanding kerugian bersih RM71.23 juta.


Keuntungan daripada pelupusan MSM Perlis Sdn Bhd berjumlah RM92 juta telah menyumbang kepada jumlah keuntungan sebelum cukai (PBT) disatukan sebanyak RM170 juta.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, MSM telah mencapai kemajuan yang baik dalam pelan pemulihannya pada 2021 walaupun menghadapi trend peningkatan elemen kos pengeluaran utama.


Di peringkat domestik, katanya, perkembangan positif Pelan Pemulihan Negara telah memberikan dorongan kuat untuk pemulihan ekonomi yang lebih besar dan aktiviti sosioekonomi yang membawa kepada lebih banyak penggunaan produk termasuk gula.


"Dari segi operasi, kos pengeluaran kumpulan meningkat berbanding tahun sebelumnya didorong oleh peningkatan 18% dalam NY11, peningkatan 69% dalam kos pengangkutan dan faktor penggunaan (UF) yang lebih rendah disebabkan oleh penutupan sementara MSM Johor untuk kerja-kerja pembaikan dandang dan MSM Prai untuk kerja sanitasi akibat COVID-19 seperti yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan.


"Peningkatan dalam NY11 telah diatasi oleh pertukaran asing yang lebih rendah sebanyak 2%," jelasnya.


Secara dalaman, MSM Johor berjaya meningkatkan hasil pengeluarannya serta UF walaupun kilang itu masih belum mencapai tahap kapasiti pulang modal.


MSM kekal optimis dengan berhati-hati ke arah mengekalkan prestasi kewangannya pada 2022 dan akan terus memacu rangka kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) melalui pelbagai inisiatif berterusan.


Antaranya, kerjasama dengan Wilmar Sugar Pte Ltd dalam mewujudkan rantaian bekalan gula yang mampan dan inisiatif baharu yang direka untuk mencapai pertumbuhan mampan yang holistik.


Syed Feizal berharap kumpulan dapat meningkatkan pasaran ke Australia dan New Zealand sebagai tambahan dan rancangan untuk menembusi pasaran Filipina dan Indonesia.

bottom of page