top of page
  • Farah

Banjir: Terengganu hantar 400 sukarelawan ke Johor


KUALA NERUS 8 Mac: Seramai 400 sukarelawan daripada pelbagai persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) Terengganu digerakkan ke Johor dalam misi membantu mangsa banjir di negeri tersebut.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah berkata misi tersebut memfokuskan kepada bantuan tenaga kerja pembersihan di samping membawa sumbangan barangan untuk diedarkan kepada mereka yang terjejas.


Beliau berkata antara barangan yang akan dihantar termasuk makanan, air mineral, kelengkapan diri dan tilam yang keseluruhannya bernilai RM200,000. "Beberapa hari lepas Menteri Besar Terengganu telah menghubungi Menteri Besar Johor bagi menyampaikan ucapan takziah dan beliau juga telah bersetuju menghantar misi sukarelawan dan bantuan bagi meringankan beban penduduk Johor yang terkena musibah banjir.

"Pagi tadi kita telah buat pelepasan misi bantuan ke kawasan Segamat, Simpang Renggam dan beberapa laluan lain yang boleh dimasuki dari Terengganu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan insurans kematian kepada keluarga atlet lawan pedang di Kampung Telaga Daing di sini, hari ini.


Dalam perkembangan lain Wan Sukairi berkata Velodrome Dungun dijangka dapat dibuka kepada orang ramai awal bulan depan.


Menurut beliau velodrome tersebut telah siap sepenuhnya, namun beberapa kerja pembaikan kecil perlu dilakukan berikutan masalah seperti permukaan trek yang tidak rata.

"Selepas ujian dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya dan atlet berbasikal, terdapat beberapa pembaikan perlu dilakukan oleh kontraktor sebelum ia dapat dibuka kepada orang ramai. Kita akan anjurkan satu kejohanan atau pertandingan untuk mengesahkan bahawa velodrom tersebut selamat digunakan," katanya.

-- BERNAMA

コメント


bottom of page