top of page
  • newsatmy

Bantuan berterusan untuk artis veteran.

17 Mac 2021


KUALA LUMPUR: Meskipun penggambaran drama dan filem dibenarkan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun masih ramai ahli Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) tidak bekerja.


Apabila tiada kerja bermakna tiada gaji untuk meneruskan kelangsungan hidup. Seperti diketahui, golongan artis veteran paling ramai terkesan dengan pandemik COVID-19.


Bagaimanapun, nasib golongan artis veteran tidak pernah terabai, malah menerima bantuan dan sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli korporat bagi meringankan bebanan yang ditanggung.


Presiden PKAVM, Datuk Tumiran Mohd Kasdi berkata, pihaknya bersyukur tidak putus-putus menerima bantuan pelbagai pihak sejak pandemik COVID-19 menular, tahun lalu.


"PKAVM menerima sumbangan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM20,000, baru-baru ini. Jadi, bolehlah diagihkan kepada ahli yang memerlukan. Dalam masa yang sama, kami menggunakan sumbangan ini untuk membayar bil dan gaji pekerja yang selama ini bekerja tanpa gaji.


"Untuk pengetahuan, kami tiada peruntukan untuk membayar gaji pekerja. Ini kerana kewangan daripada pentadbiran sebelum ini masih dalam siasatan pihak berkuasa. Wang dalam akaun PKAVM masih dibekukan.


"Disebabkan itu, kami terpaksa meminta ihsan orang ramai menghulurkan bantuan.


Alhamdulillah, banyak pihak yang prihatin dengan memberikan sumbangan berbentuk wang.


"Selain itu, kami juga menerima bantuan dari Koperasi Angkasa berupa 50 pek barangan asas dan bantuan bahan mentah daripada syarikat Pakmartfresh," katanya kepada BH Online.


Bagaimanapun, katanya, untuk mengagihkan wang serta sumbangan kepada 177 ahli PKAVM tidak mencukupi.


Disebabkan itu, katanya, PKAVM mendahulukan artis yang tidak menjana pendapatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti Wan Maimunah, Dalimawati, Aznah Hamid serta artis veteran yang uzur seperti Amran Tompel dan Mimi Loma.


Katanya, PKAVM tidak putus berusaha meminta bantuan dan sumbangan pelbagai pihak bagi membantu ahlinya, sejak setahun lalu.


"Kebanyakan ahli PKAVM, kalau bekerja baru ada duit. Jadi, masih ramai tidak bekerja sekarang ini. Justeru, kami cuba meringankan beban mereka dengan dengan bantuan yang dihulurkan. Walaupun sikit, kami tetap berkongsi.


"Selaku Presiden, saya akan terus membantu apa yang termampu, walaupun banyak menggunakan peruntukan sendiri. Tetapi banyak mana sangat duit yang saya ada.


"Atas faktor ini jugalah saya tidak putus membuat surat dan meminta sumbangan daripada mereka yang prihatin. Saya kena terus berusaha, jika tidak, siapa mahu bantu artis veteran ini?

"Kebanyakannya sudah berusia dan uzur. Jadi, ini adalah tanggungjawab dan amanah diberikan kepada saya untuk membantu mereka," katanya.


Bagaimanapun, Tumiran berkata, PKAVM tidak mahu bergantung kepada bantuan semata-mata.


"PKAVM akan berusaha mencari dana dan sumber kewangan bagi menjalankan aktiviti serta mengisi tabung persatuan untuk kegunaan ahli.


"Kami merancang pelbagai aktiviti persembahan dan sebagainya, tetapi perlu menunggu pandemik COVID-19 reda dahulu," katanya.


Selain itu, katanya, Pakmartfresh membuka peluang kepada ahli PKAVM menjadi ejen jualan barangan mentah.


"Ahli PKAVM boleh menjual barang basah kepada rakan atau jiran. Mereka akan mendapat komisyen dengan hasil jualan. Ini antara usaha kami memberikan pendapatan kepada ahli yang tidak bekerja," katanya.


-Berita Harian

bottom of page