top of page
  • newsatmy

Bantuan kewangan untuk tiga keperluan Palestin

16 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Agensi kerajaan akan memantau dana yang dikumpulkan Sekretariat Aid4Palestine, bagi menjamin keutuhan ketelusan, sekali gus memastikan bantuan sampai ke golongan memerlukan di Palestin.


Pengerusi Sekretariat Aid4Palestine, Muhammad Khalil Abdul Hadi, ketika memberikan jaminan sedemikian berkata, setiap sen yang disalurkan orang ramai akan digunakan untuk menampung perbelanjaan tiga keperluan utama penduduk di Palestin.


Katanya, ia merangkumi keperluan pendidikan, kesihatan dan kebajikan warga wilayah bergolak itu yang dibedil serangan bertali arus oleh tentera Israel, sejak 10 Mei lalu sehingga mengorbankan 139 orang serta menyebabkan lebih 1,000 lagi tercedera.


"Kebajikan seperti makanan, minuman, alat yang perlu digunakan apabila rumah mereka musnah, iaitu peralatan, bahan bagi menampung rumah yang rosak, khemah, tilam dan seumpamanya. Bagi menjamin ketelusan, kita juga sudah kenal pasti rakan di Baitulmaqdis dan Gaza untuk bantu salurkan bantuan serta sumbangan kepada golongan sasar.


"Kita juga lantik dua duta, iaitu Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Syeikh Ikrimah Sabri dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir An-Nuri untuk tujuan memudahkan penyaluran dana," katanya pada sidang media, malam tadi.


Keranda membawa Mohamad Kassem Tahan, ahli pergerakan Hezbollah yang disokong Iran. Beliau terbunuh selepas serangan Israel di sempadan Lubnan, awal hari ini. - Foto AFP


Menerusi majlis pelancaran kempen Aid4Palestine yang diadakan secara dalam talian, malam tadi, difahamkan sebanyak RM1 juta dana hasil sumbangan dan kutipan 92 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjaya diraih.


Berhubung mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang bakal berlangsung hari ini, Muhammad Khalil menaruh harapan supaya resolusi tegas berhubung konflik di Palestin dan penyelesaian menyeluruh polemik menjangkau tujuh dekad itu berupaya dirangka.


Beliau berkata, hal itu penting bagi memastikan martabat OIC tidak diperlekeh, memandangkan pelbagai saluran penyelesaian di pentas antarabangsa lain ketika ini menemui jalan buntu, angkara campur tangan kuasa besar dunia.


"Usah biarkan orang kata OIC ibarat 'hanya mahu lihat saja'. Sebaliknya, jadikan kenyataan hasrat umat Islam yang mahu menyaksikan saudara mereka di bumi Gaza dan Palestin dibela, memandangkan isu ini sudah berlarutan sejak 1948.


"Usaha bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL) sebelum ini juga wajar diteruskan oleh kerajaan ketika ini supaya ia menjadi wadah penyatuan negara Islam," katanya.


Sementara itu, Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menerusi ucaptama tidak menolak kemungkinan Amerika Syarikat (AS) dan kuasa besar dunia lain akan cuba merintis usaha mengisytiharkan gencatan senjata, selain mempengaruhi negara Islam menerima usul berkenaan.


"Tujuannya bukan nak berdamai, namun untuk menyelamatkan Israel yang ganas. Usaha itu sedang dijalankan sekarang," katanya.


-Berita Harian

bottom of page