• newsatmy

Bantuan pembiayaan bersasar SME Bank dilanjutkan hingga September - Wan Junaidi

22 Mac 2021

KUALA LUMPUR: SME Bank akan memperkenalkan Program Kemudahan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SRP) 2.0 dengan bantuan pembiayaan bersasar itu dilanjutkan selama enam bulan lagi mulai April hingga September 2021 berikutan keadaan semasa yang mencabar.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ini susulan pelaksanaan kemudahan SRP sebelum ini yang telah memberi manfaat kepada 3,084 pelanggan bank itu dengan nilai pembiayaan berjumlah RM4.41 bilion pada tahun lepas.


"Ini termasuk seramai 61 usahawan dari Melaka dengan nilai pembiayaan sebanyak RM65.42 juta," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.


Sementara itu, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata selain SRP, bank tersebut yang turut terlibat secara langsung dalam inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), telah meluluskan lebih RM630 juta bagi pembiayaan seramai 1,065 usahawan.


Menerusi PENJANA, bank itu telah meluluskan pembiayaan untuk 32 usahawan yang berjumlah lebih RM6.0 juta.


Usaha terkini SME Bank adalah melalui Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) dan Kemudahan Teknologi Tinggi-Aspirasi Pelaburan Nasional (HTF-NIA) yang membabitkan kelulusan pembiayaan berjumlah lebih RM97 juta untuk 263 usahawan, kata Aria.


SME Bank turut memberi pengecualian serta diskaun bayaran sewa selama enam bulan kepada 251 syarikat usahawan PKS yang melibatkan 373 lot di Kompleks Premis Usahawan SME Bank di 26 lokasi seluruh Malaysia.


"Langkah ini telah memberi penjimatan kos operasi usahawan terlibat berjumlah RM6.1 juta," katanya.


Selain itu, platform e-dagang B2B bank tersebut, ODELA merekodkan transaksi bernilai lebih RM4.6 juta dan seramai 539 peniaga telah berdaftar dengan 676 produk disenaraikan dalam sistem tersebut setakat 28 Februari lepas.


Platform itu membolehkan usahawan melakukan transaksi, memudahkan urusan jual beli, memupuk inovasi dan perkongsian di seluruh ekosistem PKS dengan hanya beberapa klik.


-- BERNAMA

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.