• newsatmy

Bapa mertua Marsha Milan meninggal dunia

23 Mei 2021

KUALA LUMPUR : Bapa mentua kepada penyanyi dan pelakon Marsha Milan Londoh meninggal dunia awal pagi Sabtu.


Menerusi perkongsian di Instagramnya, Marsha memaklumkan, bapa mentuanya, Datuk Seri Mohamed Ismail Mohamed Othman telah menghembuskan nafas terakhir.


“Dukacita ingin memaklumkan bahawa, bapa mentua tersayang, Datuk Seri Mohamed Ismail Mohamed Othman telah kembali ke Rahmatullah pada hari ini, Sabtu bertarikh 22/5/2021 bersamaan 10 Syawal 1442H.


“Marilah kita bersama-sama berdoa agar rohnya dirahmati Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang soleh dan beriman,” katanya dalam satu posting ringkas.


Untuk rekod, Marsha mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya, ahli perniagaan, Mohamed Shaiful Nizam Datuk Seri Mohamed Ismail pada 31 Disember 2015.


Selepas berumah tangga, media melaporkan, Marsha mengakui lebih selesa tinggal bersama keluarga mentuanya berbanding duduk berasingan.


Malah, Marsha sebelum ini ada memaklumkan dia lebih terdidik dan memudahkan urusannya untuk lebih mendalami ilmu agama Islam sepanjang tinggal bersama keluarga besar itu.

-Astro Awani