top of page
  • Writer's pictureMatha Ahmad

“Basi bagi Tok Mat, kanser bagi rakyat”-Iskandar


REMBAU, 1 Ogos – BERSATU Negeri Sembilan pelik susulan kenyataan dangkal Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan yang menganggap isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini sudah basi dan tidak lagi dipedulikan.


Ketua Penerangan BERSATU Negeri Sembilan, Iskandar Dzulkarnain Abdul Rahim berkata walaupun isu 1MDB dianggap basi pada dirinya seorang, tetapi kesan akibat penyelewengan itu mengakibatkan rakyat yang menanggung derita.


“Basi bagi Tok Mat (Mohamad), kanser bagi rakyat. Basi bagi Umno-BN, bahana bagi rakyat.

“Dah basi tapi akibatnya sampai bila kerajaan dan rakyat kena tanggung?

“Berapa banyak peralatan perubatan canggih boleh dibeli untuk hospital kerajaan, berapa banyak naik taraf bangunan-bangunan sekolah boleh dilaksana, berapa banyak jalan raya boleh dibaiki, berapa banyak bantuan untuk B40 dapat diberi dan banyak lagi kegunaan dana kerajaan daripada membazir membayar hutang akibat skandal 1MDB,” katanya ketika dihubungi Penerangan BERSATU hari ini.


Semalam, pada Konvensyen Puteri BN di ibu negara, Mohamad berkata isu seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang digunakan pihak lawan untuk menyerang parti itu selama ini, kini sudah basi dan tidak lagi dipedulikan.

“Mereka (lawan BN) asyik janji kata kluster mahkamah, 1MDB. Orang di Johor, Melaka tak peduli lagi dah 1MDB, orang dah tak kisah lagi dah,” katanya menambah orang ramai bahkan menderu mengerumuni Datuk Seri Najib Razak.

“Cerita ini orang kata sudah terlampau digunakan. Jadi pembangkang nak janji apa lagi? Dah tak ada benda, dia nak janji lagi, Pakatan Harapan (PH) ni. Saya pasti pilihan raya kali ini, UMNO, BN akan rampas semula negara kerana semua indikator-indikatornya bersama dengan kita.

“Takkan kita tak boleh baca, tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) kita menang. Menang di Sabah, menang di Melaka, menang di Sarawak walaupun kita tak bertanding, tapi mereka (Gabungan Parti Sarawak) bersama dengan kita, kita menang di Johor,” katanya lagi.


Mengulas lanjut, Iskandar Dzulkarnain berkata BERSATU ketika bersama Pakatan Harapan (PH) menentang Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu sedar sekiranya kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak dibiarkan, negara mungkin menjadi seperti Sri Langka pada hari ini.

“Sekiranya kerajaan pimpinan ketika itu tidak ditumbangkan, penyelewengan dapat disorokkan dan hutang makin membarah, dikhuatiri jadi seperti Sri Lanka pada hari ini.

“Daripada tiga kerajaan (kerajaan PH, kerajaan PN sehingga bertukar kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), kerajaan hari ini masih lagi terpaksa membayar hutang 1MDB,” katanya.

bottom of page