top of page
  • newsatmy

Batal gabung EcoWorld-UEM Sunrise keputusan tepat

14 Januari 2021

PETALING JAYA: Walaupun berdepan persekitaran yang mencabar dan tekanan prospek sektor hartanah yang suram sejak beberapa tahun kebelakangan ini, model perniagaan yang mampan membolehkan pemaju perumahan terkemuka, Eco World Development Group Berhad (EcoWorld) terus mencatatkan keuntungan yang tinggi berbanding rakan pemaju lain.


Justeru, penganalis ekonomi berpendapat, keputusan syarikat yang mula beroperasi pada 2013 itu membatalkan hasrat bergabung dengan syarikat hartanah UEM Sunrise, sebagai langkah tepat dan kehadapan.


Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School berkata, jika dilihat prestasi semasa, EcoWorld lebih berdaya saing pada 2020 dan awal 2021 apabila masih mampu mencatat jualan yang tinggi dan kekal mencatatkan keuntungan walaupun dalam suasana pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.


“Komitmen hutang EcoWorld juga berjaya dikurangkan, menjadikan syarikat itu lebih mampan berbanding rakan lain,” katanya kepada FMT.


Beliau berkata, ia berbeza dengan perolehan yang dicatatkan UEM Sunrise apabila hasil jualannya lebih konservatif pada tahun lalu. Malah prestasi kewangan syarikat pada suku ketiga 2020 menyaksikan ia masih belum mencatat keuntungan.

“Walaupun UEM Sunrise mempunyai bank tanah yang lebih besar daripada EcoWorld, kebanyakannya di selatan tanah air dan prestasi hartanah yang agak perlahan menyukarkan usaha UEM Sunrise untuk meningkatkan jualan hartanahnya.”

Oleh itu, beliau menyifatkan, pembatalan penggabungan itu memberi kesan positif kepada EcoWorld untuk terus berkembang dengan menumpukan kepada portfolio hartanahnya sendiri, tanpa perlu bergabung dengan UEM Sunrise.

“Bagi UEM Sunrise pula, cabaran tahun ini ialah untuk meningkatkan hasil jualan supaya kembali mencatat keuntungan. Hanya dengan pemulihan ekonomi tahun ini bakal membolehkan UEM Sunrise kembali bangkit,” katanya.


Berdasarkan prestasi kewangan semasa, hutang bersih EcoWorld adalah RM2.98 bilion iaitu lebih rendah berbanding hutang bersih UEM Sunrise iaitu RM3.4 bilion.


Pada suku ketiga 2020, kumpulan itu mencatatkan keuntungan selepas cukai RM68.7 juta berbanding kerugian yang dicatatkan kebanyakan syarikat pemaju lain termasuk UEM Sunrise (suku kedua 2020 kerugian RM115.8 juta).


Oktober lalu, UEM Sunrise memaklumkan menerima surat cadangan daripada syarikat induk, UEM Group Berhad, mencadangkan ia bergabung dengan EcoWorld. UEM Group merupakan anak syarikat Khazanah Nasional Berhad.


Jika penggabungan itu berjaya, ia dijangka membentuk antara syarikat pembangunan hartanah terbesar di Malaysia, dengan unjuran nilai pembangunan kasar RM173.2 bilion dan aset tanah melebihi 17,000 ribu ekar dalam negara.


Menyentuh prospek hartanah sepanjang tahun ini, Razman berkata, 2021 kekal menjadi tahun mencabar bagi sektor hartanah susulan pelaksanaan norma baharu dalam operasi perniagaan antaranya dasar bekerja dari rumah yang mula dilaksanakan secara meluas.


“Ini menyebabkan kurangnya permintaan untuk membeli atau menyewa ruang pejabat dan tapak perniagaan sekali gus memberi tamparan hebat kepada segmen komersial dan ruang pejabat.


“Indeks Harga Perumahan pula kekal rendah iaitu tidak menunjukkan kenaikan harga rumah dan memberi isyarat bahawa berlaku lambakan hartanah terutamanya melibatkan rumah kos mewah dan bangunan pejabat,” katanya.


Selain itu, faktor ekonomi sekarang menyebabkan rakyat tidak mampu untuk membeli rumah dan lebih cenderung untuk menyewa sahaja, katanya.


Sumber:

bottom of page