• newsatmy

Bazaar China padam gambar Lisa Blackpink, dipercayai berkaitan isu kapas Xinjiang

4 April 2021

BINTANG K-pop Lisa dari kumpulan Blackpink antara artis terbaharu yang dipercayai terlibat dengan kontroversi kapas buatan Xinjiang, China.


Baru-baru ini, Lisa tampil di muka depan majalah Harper’s Bazaar China untuk edisi April 2021 berdasarkan beberapa gambar yang dimuat naik oleh majalah itu di media sosial.


Bagaimanapun, portal berita K-pop Koreaboo melaporkan bahawa gambar-gambar tersebut telah dipadam daripada profil media sosial majalah itu, serta daripada beberapa laman sosial China.


Bazaar China serta pihak pengurusan Blackpink belum mengeluarkan kenyataan berhubung isu tersebut, namun ia dikaitkan dengan penglibatan Lisa dalam kempen untuk Adidas.


Lisa bersama tiga anggota Blackpink lain baru-baru ini menjadi duta terbaharu untuk Adidas Originals dalam kempennya di Korea Selatan serta di peringkat global.


Adidas merupakan salah satu jenama sebahagian daripada Better Cotton Initiative yang menyuarakan kebimbangan tentang kapas keluaran wilayah Xinjiang selepas industri itu dituduh menggunakan buruh paksa.


Selain Adidas, beberapa jenama lain yang turut terbabit dengan kontroversi tersebut termasuk H&M, Nike dan Burberry.


Jenama-jenama fesyen global itu diboikot oleh rakyat China selepas dituduh membuat dakwaan tidak berasas terhadap kapas buatan Xinjiang.


Boikot besar-besaran itu bermula selepas beberapa negara Barat, termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom meningkatkan sekatan ke atas pegawai-pegawai kerajaan China di Xinjiang.


- Astro Awani