• Arissa

BBC, Majlis Pembangkang Selangor sokong persidangan DUN diadakan segera

23 Jun 2021

KUALA LUMPUR: Majlis Penyokong Kerajaan (BBC) dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menyokong titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan sidang Parlimen perlu diadakan segera.


Menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Pengerusi BBC, Elizabeth Wong dan Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Rizam Ismail, mereka menjunjung titah Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu yang berpandangan supaya Parlimen perlu bersidang segera bagi membincangkan isu negara dan rakyat dalam menangani pandemik COVID-19.


“Sidang dewan ini amat penting baik di peringkat kerajaan negeri mahupun kerajaan Pusat agar setiap perbahasan berkenaan isu-isu rakyat mampu diperhalusi bersama dalam agenda kita memerangi pandemik COVID-19.


“Keprihatinan Baginda Tuanku dan Raja-Raja Melayu perlu diambil secara serius oleh semua agar isu rakyat, ekonomi dan negara mampu ditangani dengan segera," kata mereka dalam kenyataan itu, pada Selasa.


Kedua-dua pihak turut menyatakan akan memberi sokongan penuh kepada kerajaan negeri Selangor untuk membuka sidang DUN selaras dengan komitmen Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, pada 17 Jun lalu.



--Awani