• newsatmy

BCorp lantik Jalil Rasheed sebagai CEO Kumpulan baharu

17 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Berjaya Corporation Bhd (BCorp) melantik Abdul Jalil Abdul Rasheed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan yang baharu, berkuat kuasa hari ini.


Dalam kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata mandat Abdul Jalil ialah meneliti semula struktur korporat BCorp, mengoptimumkan kewangan dan sumber manusia, meningkatkan sinergi dan kecekapan serta tadbir urus korporat dan ketelusan.


Beliau turut diberi kepercayaan untuk menyelaraskan pelbagai perniagaan kumpulan bagi mewujudkan dan meningkatkan nilai pemegang saham serta mentransformasi BCorp sebagai sebuah organisasi yang berprestasi tinggi.


Sementara itu, Datuk Seri Robin Tan Yeong Ching telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif, berkuat kuasa hari ini dan akan melepaskan jawatannya sebagai CEO Kumpulan.


Kumpulan itu berkata Abdul Jalil akan bekerjasama dengan Pengerusi Eksekutif Tan Sri Vincent Tan dan Tan sebagai jawatankuasa eksekutif, untuk terlibat dalam semua proses membuat keputusan strategik dan merancang hala tuju perniagaan masa depan BCorp.


Sebelum ini, Abdul Jalil merupakan Presiden dan CEO Kumpulan Permodalan Nasional Bhd.


Beliau mempunyai 18 tahun pengalaman dalam pelaburan dan kepimpinan perniagaan, pernah berkhidmat di United Kingdom, Amerika Syarikat, Malaysia dan Singapura dengan firma pelaburan global, Aberdeen Standard Investments and Invesco Ltd.


Selain pengalaman dalam pelaburan, Abdul Jalil turut mempunyai pengalaman bekerja dengan syarikat besar selain menerapkan keberkesanan dan kecemerlangan operasi, menurut BCorp.


-- BERNAMA