top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Beberapa menteri bercuti di luar negara sudah pulang - PM

26 Disember 2021

HULU LANGAT: Beberapa menteri Kabinet yang bercuti ke luar negara membatalkan cuti dan pulang ke tanah air, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Tanpa menyebut nama menteri terbabit, beliau berkata mereka kini sedang menjalani kuarantin sendiri.


"Dua tiga daripada mereka sudah kembali. Mereka telah membuat perancangan untuk melancong ke luar negara lebih awal sebelum banjir dan sebelum arahan (pembatalan cuti) dikeluarkan.


"Saya tidak mahu sebut nama, tetapi mereka sudah kembali dan saya telah menasihatkan mereka supaya kuarantin sendiri dahulu atas sebab keselamatan. Isnin atau Selasa mereka akan keluar," katanya ketika ditanya media mengenai perkara itu selepas membuat semakan kerja-kerja bantuan pasca banjir di Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua di sini hari ini.


Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa beliau juga telah membatalkan rancangan untuk menunaikan ibadah umrah yang dijadualkan pada 1 Jan.


Beliau menambah bahawa beberapa menteri yang berada di luar negara telah membatalkan cuti mereka tetapi tidak dapat pulang kerana tiada penerbangan yang tersedia.


Terdahulu, Perdana Menteri mengeluarkan arahan kepada menteri Kabinet yang sudah bercuti dan ke luar negara atau bercadang untuk bercuti supaya membatalkan cuti mereka sehingga situasi banjir sekarang ini selesai.


Susulan itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan cuti ketua setiausaha semua kementerian serta ketua pengarah (KP) jabatan dan agensi kerajaan telah dibatalkan berkuat kuasa serta-merta.

bottom of page