• newsatmy

Bekas pegawai MAHB didakwa lima pertuduhan rasuah melibatkan RM41,000

13 April 2021

KOTA KINABALU: Seorang bekas pegawai eksekutif Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) mengaku tidak bersalah kepada lima pertuduhan rasuah melibatkan keseluruhan wang berjumlah RM41,000.


Tertuduh, Abas Tuah, 59, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Mahkamah Khas Rasuah, Abu Bakar Manat.


Dalam kelima-lima pertuduhan tersebut, tertuduh telah memperdayakan seorang lelaki untuk mempercayai bahawa beliau boleh membantu untuk mendapatkan tapak perniagaan dan memudahkan pembaharuan kontrak sewaan tapak perniagaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).


Lelaki tersebut kemudian telah bertindak untuk memasukan sejumlah wang ke dalam akaun Maybank milik tertuduh dalam lima kejadian berasingan, sepanjang tempoh dari 2010 hingga 2014.


Abas yang kini tidak berkerja dan ditanggung sepenuhnya oleh tiga orang anaknya didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.


Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebih 10 tahun, dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.


Ikat jamin tertuduh ditetapkan pada RM12,000 dengan wang pendahuluan RM7,000 berserta seorang penjamin tempatan.


Beliah turut diarahkan untuk melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kota Kinabalu, dua bulan sekali dan menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah.


Hakim turut memberi amaran kepada tertuduh agar tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan sepanjang tempoh perbicaraan.


Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Clementine Severinus manakala tertuduh diwakili oleh peguam bela, PJ Pereira.


Mahkamah menetapkan 24 Mei hadapan bagi sebutan semula kes.


- Astro Awani