top of page
  • newsatmy

Bekas pemain dram Slipknot, Joey Jordison meninggal dunia

29 Julai 2021

Bekas pemain dram dan pengasas bersama kumpulan nu metal, Slipknot, Joey Jordison meninggal dunia pada usia 46 tahun ketika dalam tidur.


Perkara itu disahkan oleh satu kenyataan yang dikeluarkan ahli keluarganya pada Selasa.


“Dengan amat sedih kami menyampaikan berita bahawa Joey Jordison, seorang pemain drum, pemuzik dan artis yang tersohor meninggal dunia dengan tenang dalam tidurnya pada 26 Julai 2021.


”Kematian Joey telah meninggalkan kita perasaan sedih yang tidak dapat digambarkan,” keluarganya berkata.


Jordison merupakan pemain dram asal untuk Slipknot, sebelum digugurkan pada 2013 selepas dia mendedahkan menghidap penyakit saraf dan mengaku tidak lagi dapat bermain.


Meskipun begitu, dia meluahkan rasa kecewa terhadap kumpulannya yang hanya memaklumkan penyingkiran tersebut melalui e-mel.


“Tidak ada mesyuarat? Tiada. Atau apa-apa dari pihak pengurusan? Tiada,” katanya sebagai dipetik CNN.


Slipknot diasaskan oleh Jordison bersama dua lagi ahli kumpulan iaitu Shawn Crahan (percussion) dan Paul Gray (bass) di Des Moines, Iowa, Amerika Syarikat pada 1995.


Kumpulan yang terdiri daripada lapan anggota itu terkenal dengan gimik mereka mengenakan topeng ketika mengadakan persembahan konsert.


Nama kumpulan tersebut menjulang naik pada sekitar 1999 menerusi album mereka ‘Slipknot’ yang popular dengan lagu-lagu seperti Wait and Bleed, Spit It Out dan Surfacing.


Ia diikuti dengan album kedua mereka Iowa pada 2001, memuatkan lagu seperti The Herectic Anthem dan Left Behind.


Selain Slipknot, Jordison turut menubuhkan kumpulan lain seperti Scar the Martyr, Vimic dan Sinsaenum.


bottom of page