• newsatmy

Bekas pemain Leeds United sandaran baharu pertahanan JDT

21 Mei 2021

WAKIL Liga Malaysia (Liga-M), Johor Darul Ta'zim (JDT), memperkasakan skuad dengan memancing pertahanan dari Australia, Shane Lowry, secara percuma.


Khidmat bekas tonggak Al Ahli SC itu amat ditagih dalam usaha Harimau Selatan memantapkan bahagian pertahanan, lebih-lebih lagi menjelang kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang bermula hujung bulan depan.


Kehadiran bekas pemain yang pernah membuat penampilan bersama beberapa pasukan di England seperti Leeds United, Birmingham City dan Millwall itu -- kali terakhir dia mewakili Al Ahli di Qatar -- diumumkan Pengarah Sukan Kelab Bolasepak JDT, Martin Prest, sebentar tadi.


Mac lalu, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan kejohanan itu akan diadakan dengan format karnival di Thailand untuk semua perlawanan Kumpulan F, G, J bagi zon timur hingga Julai depan.


Juara Liga Super tujuh kali berturut-turut itu akan berdepan kelab Jepun, Nagoya, pada 22 Jun dan 4 Julai, Ratchaburi (25 Jun/7 Julai) selain Pohang Steeler dari Korea Selatan (28 Jun/ 1 Julai).


Beberapa pemain tempatan kini sama ada sudah atau dalam proses dipinjamkan ke pesaing tempatan selain kehilangan ketua pasukan tengah, Hariss Harun, yang berhasrat pulang Singapura.


Selain Lowry, kelab itu sudah pun bersetuju mengikat pemain muda kacukan Malaysia, Nathaniel Shio, yang akan tamat kontrak bersama Wolves pada akhir bulan ini.


Dalam masa sama, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, memberi bayangan ketibaan seorang lagi pemain LaLiga yang boleh mengisi kuota Asia tetapi tonggak itu hanya akan melaporkan diri akhir tahun ini sementara pemain kelahiran Argentina, Gonzalo Cabrera, yang mula memeriahkan Liga-M sejak 2017 boleh memohon pasport Asia pada tahun depan.


-Astro Awani