top of page
  • newsatmy

Bekas pengurus besar PPNT didenda RM5,000 kemuka resit palsu

22 Mac 2021

KUALA TERENGGANU: Gara-gara mengemukakan resit palsu bagi menuntut pembelian ikan kerapu hibrid bernilai RM600, lima tahun lalu, bekas Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) didenda RM5,000 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.


Hakim Jamaludin Mat, menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendapati tertuduh, Che Sa'adon Che Yahya, 57, bersalah dan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.


Tertuduh didakwa menggunakan resit bertarikh 17 Sept 2016 bagi pembelian ikan kerapu hibrid berjumlah RM600 di pejabat PPNT pada Sept 2016.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Sebelum menjatuhkan hukuman, Jamaludin menyatakan meskipun jumlah wang yang terlibat agak sedikit namun perbuatan Che Sa'adon tidak mencerminkan kejujuran dan sikap amanah sebagai ketua jabatan.


Sepanjang prosiding, pihak pendakwaan menampilkan 11 orang saksi manakala pembelaan hanya melibatkan tertuduh sahaja.


Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Norshafini Mustafha dan peguam Mohammad Zulfaqar Al-Basyar Saharuddin bagi pihak tertuduh.


Pada 7 Feb lalu, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal melunaskan denda tersebut selepas didapati bersalah memalsukan invois berkaitan alat ganti kereta.


Tertuduh didakwa memalsukan invois pembaikan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Fortuner milik PPNT berjumlah RM1,140, sedangkan pembayaran dibuat untuk kenderaan Toyota Wish milik tertuduh.


Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman tersebut ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan.


Pada 21 Mac tahun lepas pula, Che Sa'adon didakwa atas dua pertuduhan salah guna kuasa membabitkan pembekalan pejantan dan induk bebiri bagi projek PPNT Fasa 2 bernilai RM303,546 di Kampung Pelam, Hulu Terengganu, pada 2016.


Beliau, bagaimanapun, tidak mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan kini masih dalam proses perbicaraan.


-- BERNAMA


bottom of page