top of page
  • admin

Belanjawan 2023: Bantuan kewangan, subsidi kepada B40, penjawat awam beri manfaat pada sektor penggu


KUALA LUMPUR 25 Feb: Sektor pengguna akan mendapat manfaat daripada bantuan berterusan yang diberikan dalam Belanjawan 2023 yang disemak semula, kata MIDF Research.


Firma penyelidikan itu menyatakan, pelbagai bantuan kewangan, subsidi dan inisiatif yang diberikan kepada kumpulan pendapatan B40 serta penjawat awam akan menyokong permintaan domestik dan meningkatkan perbelanjaan pengguna untuk barangan keperluan.

"Justeru, kami menjangkakan bantuan tunai akan melonjakkan jualan untuk syarikat berkaitan penggunaan harian (ruji)," katanya dalam satu nota penyelidikan di sini.

Memandangkan pemulihan ekonomi domestik yang berterusan, perbelanjaan penggunaan swasta Malaysia dijangka meningkat sebanyak 6.1 peratus pada 2023 (Belanjawan 2023 Edisi Pertama: 6.3 peratus), katanya.

"Pemulihan berterusan dalam pasaran buruh, pertumbuhan pendapatan yang semakin baik dan pengukuhan aktiviti pelancongan di tengah-tengah pembukaan semula China akan memacu penggunaan swasta dan permintaan domestik," tambahnya.


Program Sumbangan Tunai Rahmah untuk golongan B40 bernilai hampir RM8 bilion serta bantuan kewangan khas kepada penjawat awam dan pesara kerajaan akan menyokong perbelanjaan isi rumah terutamanya pada separuh pertama 2023, kata MIDF Research.

Selain itu, kerajaan memberi sokongan tambahan untuk permintaan pengguna melalui pengurangan cukai pendapatan individu sebanyak dua peratus terutamanya mereka yang berpendapatan tahunan RM50,000-RM100,000 setahun.


Mengenai cadangan cukai keuntungan modal ke atas pelupusan saham tidak tersenarai, MIDF Research berkata, ia mungkin menarik lebih banyak penyenaraian.

"Tambahan pula, Suruhanjaya Sekuriti akan memudahkan lebih banyak pasaran sekunder untuk instrumen pasaran swasta bagi meningkatkan kecairan dan membolehkan penemuan harga yang lebih baik," tambahnya. - BERNAMA

تعليقات


bottom of page