top of page
  • newsatmy

Bella telan pahit

27 Mac 2021 KUALA LUMPUR: Sejak menceburkan diri dalam bidang seni, kecaman dan kata-kata negatif bagaikan makanan ruji buat Nabila Razali.


Pantang tersilap, pasti nama pelakon dan penyanyi ini menjadi bahan perdebatan dalam media sosial.


Menyorot kembali kontroversi yang pernah dicetuskan Nabila atau lebih akrab disapa Bella ini, rata-rata lebih kepada kemampuannya menyanyi secara langsung.

Pelbagai insiden berlaku berkaitan kelemahannya itu menyebabkan Nabila sering menjadi sasaran warga maya.


Terbaharu, aksi 'terkucil' ketika mendendangkan lagu Peluang Kedua pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35, baru-baru ini, bukan sahaja dijadikan bahan sendaan netizen, malah mengundang kritikan terbuka kelompok selebriti.


Meskipun terguris dengan kecaman yang dilemparkan, namun, kata-kata itu sedikit pun tidak melemahkan semangat pemilik Bella atau nama sebenar, Nur Nabila Mohd Razali untuk terus berjuang.


"Bella tidak akan membiarkan kritikan dan kecaman mematahkan semangat untuk terus berada dalam bidang ini.


Nabila mendendangkan lagu Peluang Kedua pada majlis pelancaran kek lapis Sarawak di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini. Foto NSTP Hairul Anuar Rahim


"Ini bukanlah titik noktah perjuangan. Bella buat semua ini untuk kepuasan sendiri dan demi kedua-dua orang tua," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kek lapis Sarawak premium jenama Big Mouth X Nabila Razali di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.


Sekebal manapun Nabila dalam menghadapi dugaan sebagai anak seni, ada ketikanya, tewas juga.


Sebagai insan biasa, dia tidak dapat menolak hakikat kata-kata sinis yang dilemparkan mengguris hati.


Lebih membuat penyanyi pematah Hati dan Vroom Vroom ini kecewa adalah apabila ada rakan seperjuangan memperkecilkan kemampuannya gara-gara insiden AJL35.

"Apa yang Bella kesal kadang-kadang orang yang mencari rezeki dalam bidang ini berbual benda-benda negatif.


"Walhal kita mencari makan dalam bidang sama. Malah, ada antara mereka itu pernah duduk semeja dan berbual.


"Insiden AJL35 sekurang-kurangnya memberi Bella pengajaran, siapa kawan dan yang mana lawan.


"Bella tidak pernah ada isu dengan sesiapa atau sakitkan hati mana-mana pihak Jadi pesan Bella, tidak perlulah kita menambah minyak pada api yang sedang marak. Kita sama-sama cari rezeki dalam bidang ini.


"Sedikit semangat daripada mereka sudah mencukupi kerana itu lebih baik daripada menjatuhkan semangat orang lain," luah pelakon drama rantaian Hikayat Cinta Si Pematah Hati ini kepada BH Online.


Menceritakan insiden yang berlaku pada malam AJL35, Nabila mengaku perasaan gugup membuatkan nyanyiannya tidak sempurna.


"Saya tidak menyangka insiden itu akan berlaku. Sebelum pertandingan, saya ikuti kelas nyanyian.


"Saya tidak tertekan cuma ada rasa gugup kerana pertama kali menyanyi di pentas besar seperti AJL.


"Lagipun, saya sudah lama tidak menyanyi dalam mana-mana acara. Tiba-tiba kena menyanyi di pentas AJL, manalah tak gementar.


"Saya juga tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku kerana ia adalah pengalaman berharga buat saya.


"Tiada istilah serik, malah saya bersedia untuk terus bertanding jika ada rezeki pada masa akan datang," katanya positif.


Pada acara pelancaran kek lapis itu, Nabila yang anggun mengenakan busana tradisional Sarawak turut mendendangkan lagu Peluang Kedua secara langsung.

Persembahannya itu mendapat pujian tetamu yang hadir termasuk daripada guru vokalnya, Datuk Syafinaz Selamat.


Aksi ini setidak-tidak berjaya menebus kembali kesilapan yang dilakukannya sebelum ini.


Mengulas perkara itu, Nabila menegaskan dia tidak berniat untuk membuktikan apa-apa melalui persembahannya itu.


"Selain untuk melancarkan produk, acara malam ini juga adalah untuk meraikan keluarga, teman dan media atas sokongan yang diberikan.


"Saya hanya mahu berhibur dan tak bermaksud untuk menebus maruah seperti yang disangkakan," luahnya. -BH Online

bottom of page