• Nihaba

Belum masa sesuai bubar Parlimen - PM

11 Disember 2021

BERA: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sekarang bukan masa sesuai untuk beliau membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dapat diadakan.


Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian ketika mengulas pandangan pelbagai pihak yang mencadangkan PRU15 segera dilaksanakan dengan alasan sekarang masa yang paling sesuai.

Tambah Ismail lagi, paling penting, UMNO perlu kembali ke matlamat asal perjuangan iaitu menyatukan bangsa dan bukan bersengketa sesama sendiri.

"Kita tidak boleh menafikan kerana besar atau kecilnya memang ada sedikit pergeseran, kita belum memerintah kita mula hendak bergeser sesama sendiri Kalau kita dah pun menang lain cerita sikit, ini kita dalam zon kekalahan kita sudah lupa bahawa pepecahan boleh membawa keruntuhan kepada kita," katanya.


Ismail Sabri berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian Bera di Dewan Konvensyen Bera pada Sabtu.

Menurut Ismail, kejayaan UMNO dan BN memenangi Pilihan Raya Negeri Melaka bulan lalu bukan ukuran sebenar penerimaan rakyat kepada parti itu.


Sebaliknya UMNO dan BN hanya meraih peningkatan undi popular kurang satu peratus selain peratusan keluar mengundi yang rendah.

Katanya lagi jika PRU dilaksanakan segera, ia juga boleh dianggap sebagai menafikan hak pengundi muda berusia 18 tahun untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.


Isu berhubung menyegerakan PRU mula dibangkitkan selepas kejayaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu, malah pemimpin kanan UMNO selepas PRN Melaka juga sudah bersuara agar PRU diadakan dengan segera bagi mengekalkan momentum kemenangan mereka.


Mengambil kira populariti Zahid dikalangan akar umbi yang masih kuat dan mempunyai penyokong yang ramai, mesyuarat sayap akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan usul untuk menyegerakan PRU dapat dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO nanti.