• Arissa Azman

"Benarkan Kami Ke Laut Mencari Rezeki" - Nelayan

28 Jun 2021

BENUT: Nelayan masyarakat Orang Asli di Benut, Johor mendakwa, pendapatan mereka terjejas selepas kerajaan membekukan lesen nelayan pantai.


Beberapa kali rayuan sudah dibuat supaya mereka diberikan lesen zon A, namun masih tiada sebarang keputusan dibuat.


Populasi masyarakat orang asli di Benut adalah nelayan sepenuh masa dan tertumpu di kawasan Pontian Besar, Tampuk, Kuala Benut dan Sanglang.


Pendapatan mereka hanya terhasil daripada laut bagi kelangsungan hidup dan mereka terpaksa ke laut walaupun tidak mempunyai lesen.


Menurut Jamil bin Latif, salah seorang nelayan Orang Asli, berkata selain sering dikejar polis, Jabatan Perikanan Malaysia turut turun ketika mereka sedang mencari hasil laut.


"Kita nak buat pencarian pun kadang-kadang terjejas, duit minyak pun tak lepas nak balik, kadang kena lari sebab kita tiada lesen tapi terpaksa turun juga laut," ujar beliau.


Jamil turut berkata bahawa semua lesen nelayan bagi zon A, zon B dan zon C dibekukan oleh Jabatan Perikanan dengan pengecualian diberikan kepada lesen C2, iaitu bagi nelayan laut dalam.


Wakil Masyarakat Orang Asli, Senator Dato' Isa Abdul Hamid setuju agar kelonggaran sama diberikan kepada masyarakat Orang Asli.


"Saya harap pihak kerajaan memberikan longgaran kepada mereka agar mereka dapat mencari rezeki dalam pandemik Covid-19 ini," ujar beliau.





--PN Online