top of page
  • newsatmy

Benarkan PTPTN Teruskan Moratorium Bersasar, Diskaun 20 Peratus Lunas Pinjaman

23 Oktober 2021

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang untuk membenarkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan moratorium bersasar kepada peminjam yang terkesan pandemik COVID-19.

Pengerusi PTPTN yang juga Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata dalam keadaan ekonomi yang sedang dalam pemulihan sekarang ini, ramai yang masih menghadapi masalah kewangan. “Tetapi jika moratorium sukar dilaksanakan, saya nyatakan bahawa kerajaan patut berikan diskaun paling kurang 20 peratus kepada peminjam yang membuat bayaran penuh.

Dan, saya juga minta kita beri diskaun kepada mereka yang membayar menggunakan potongan direct debit bulanan sebagai reward kepada mereka yang membayar mengikut jadual.

“Diskaun ini merupakan satu perkara yang popular dan sering disebut dalam sesi-sesi libat urus yang kami jalankan. Saya harap kerajaan akan pertimbangkan untuk Bajet 2022.

“Saya juga sampaikan surat rasmi daripada saya selaku Pengerusi PTPTN kepada YB Menteri Kewangan mengenai perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. Malam tadi, satu sesi taklimat Bajet 2022 dihadiri ketua-ketua penerangan dari pelbagai parti politik bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berlangsung di Kementerian Kewangan.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata sesi ini adalah kesinambungan usaha kerajaan dalam menjadikan Bajet2022 sebagai sebuah bajet yang inklusif, dengan pendekatan Seluruh Negara (Whole-of-Nation) tanpa mengira latar belakang mahupun fahaman politik. ⠀

bottom of page