- newsatmy
Bengkel kreatif di setiap negeri
7 April 2021 KUALA LUMPUR: Kebenaran kepada syarikat produksi untuk menyambung aktiviti penggambaran menyebabkan penerbit berdepan kekurangan tenaga kerja belakang tabir, termasuk pelakon apabila shooting dilakukan serentak. Rungutan penerbit, terutama drama dan kandungan untuk stesen televisyen (TV) akhirnya sampai kepada pengetahuan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang mengambil inisiatif membantu syarikat produksi berdepan masalah itu.
Sebagai langkah mengatasi isu kekurangan kru dan pelakon, FINAS menganjurkan program Komuniti @FINAS (KOFI) yang menawarkan bengkel lakonan, videografi, penceritaan dan bengkel solekan kesan khas kepada individu berminat.
Program pertama KOFI sudah dilaksanakan selama tiga hari mulai 1 hingga 3 April lalu di sebuah hotel di Kuantan, Pahang.
Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid, berkata selain mengatasi ketandusan tenaga kerja, program KOFI dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada komuniti berkaitan industri kandungan kreatif.
"Sejak kerajaan memberi kebenaran kepada produksi menyambung semula penggambaran, syarikat produksi berdepan kekurangan tenaga kerja apabila semua penerbit menjalankan shooting serentak.
"Ketika membuat tinjauan di lokasi penggambaran, saya terima rungutan penerbit yang mendakwa terpaksa berebut tenaga kerja.
"FINAS menyediakan pelbagai dana untuk pembangunan industri. Stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga mempunyai banyak slot untuk diberi kepada penerbit.
"Kami perlu melakukan sesuatu bagi mencari pelapis. Sebagai langkah pertama, dianjurkan KOFI. Kami merancang menganjurkan program ini di semua 13 negeri. Program sulung berjaya dilaksanakan di Kuantan disusuli siri kedua selepas Aidilfitri," katanya kepada BH Online. Zakaria berkata, KOFI julung kali dianjur menggabungkan aktiviti yang mensasarkan komuniti setempat.
"Program ini bertujuan memberi pendedahan berkaitan industri kandungan kreatif yang dikendalikan Bahagian Pembangunan Industri FINAS melalui Unit Latihan Industri," katanya.
Zakaria berkata, FINAS berbesar hati penganjuran program sulung KOFI di Kuantan mendapat maklum balas positif apabila dihadiri lebih 70 peserta. Selain itu, FINAS membuka permohonan kepada syarikat industri kreatif dan institusi yang menawarkan program latihan yang berminat untuk menyertai KOFI sebagai tenaga pengajar.
Zakaria berkata, permohonan dibuka sejak 23 Mac lalu sehingga 23 April ini dengan sasaran program dilaksanakan dari Mei hingga November depan. "Tujuan permohonan ini ditawarkan bagi memberi peluang dan ruang kepada penggiat industri kreatif untuk memastikan perkongsian kepakaran dengan komuniti setempat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
"Kami berharap program anjuran FINAS ini dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Selain itu, ia dapat melahirkan lebih ramai penggiat industri kandungan kreatif dengan membentuk jalinan kerjasama antara komuniti setempat.
"Semua ini selaras dengan usaha kami membangunkan modal insan industri kandungan kreatif, lebih lagi membabitkan belia," katanya.
Antara tenaga pengajar yang berkongsi kepakaran pada siri bengkel itu adalah pengarah dan pelakon berkaliber, Ellie Suriaty serta Taiyuddin Bakar yang mengendalikan bengkel lakonan.
Bengkel videografi dan penceritaan dikendalikan Syirfan Indra Mitra, manakala kelas solekan kesan khas dikelolakan Aishah Rosnan.
Program tiga hari itu turut diisi sesi taklimat How To Pitch atau cara menjual produk kepada stesen TV yang dikendalikan Pengarah Pembangunan Industri FINAS, Muhammad Ar-Riyyan Mohamad Roslan.
Ketika di Kuantan, Muhammad berkongsi format dan tatacara sesi pitching Dana Mikro FINAS yang akan dilaksanakan selama dua hari mulai 10 April ini.
-BH Online
Comments