top of page
  • Writer's pictureMatha Ahmad

Bentang semula Bajet 2023 jika PRU-15 dalam masa terdekat



KUALA-LUMPUR,28 Sept:Spekulasi mengenai pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) yang dikatakan bakal diadakan segera semakin ‘panas’, khususnya selepas pengumuman bahawa pembentangan Bajet 2023 diawalkan kepada 7 Oktober nanti.


Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 atau Bajet 2023 yang dijadual dibentang Jumaat depan perlu dibentang semula di Parlimen jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat.


Menurut Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, perkara itu perlu dibuat seandainya bajet yang dibentangkan tidak sempat diluluskan untuk memberi laluan kepada PRU.


Beliau berkata, kerajaan baharu yang terbentuk selepas PRU perlu membentangkan semula RUU berkenaan, bagi peringkat bacaan kali pertama dan seterusnya.


“Kalau ada pilihan raya maka akan ada satu kerajaan yang baharu. Kerajaan baharu perlu buat bacaan pertama semula.


“Sebab ini bajet, ia tidak mengikat kerajaan,” katanya sebagaimana laporan Sinar Harian.

Azhar menerusi laporan itu bagaimanapun memberitahu, kerajaan baharu juga boleh menggunakan draf RUU sama ketika pembentangan semula ke Dewan Rakyat.


Ditanya sama ada Bajet 2023 bakal mengulangi sejarah tahun 1999, di mana belanjawan di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir ketika itu tidak sempat diluluskan, Azhar berkata, perkara itu perlu diajukan kepada Kementerian Kewangan (MoF).


"Kena tanya MoF, saya tidak tahu kerana kita cuma senaraikan apa yang diberi notis kepada kita. Senarainya ialah dalam sidang kali ini, Bajet 2023 akan dibawa untuk bacaan pertama dan pada Jumaat akan dibawa untuk bacaan kedua.


"Kemudian, akan dibahas di peringkat dasar dan peringkat jawatankuasa. Itu adalah seperti yang termaklum sekarang," ujarnya.


Mengulas sama ada Perdana Menteri akan membentangkan Bajet 2023 , jelas Azhar, seperti kelazimannya, belanjawan akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan.


Ketika ini turut timbul spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan selepas pembentangan Bajet 2023 iaitu sebelum sempat RUU tersebut diluluskan.


Sementara itu, ketika ditanya adakah pihaknya akan menerima notis sebelum pembubaran Parlimen, Azhar berkata, Dewan Rakyat tidak akan menerima sebarang notis.


“Pembubaran Parlimen adalah di bawah kuasa Perdana Menteri yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong.


“Tapi pada masa sama, Agong juga mempunyai budi bicara untuk menolak nasihat tersebut. Itu undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

bottom of page