top of page
  • newsatmy

Berbasikal trek: Shah Firdaus ketepi Azizulhasni untuk rangkul emas di Brisbane

29 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Pelumba trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom berjaya mengetepikan cabaran rakan senegara yang juga juara bertahan Mohd Azizulhasni Awang untuk merangkul emas acara keirin lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia 2021 hari ini.


Azizulhasni menamatkan saingan di tempat kedua manakala pelumba tuan rumah, Matthew Richardson menduduki tempat ketiga dalam saingan di Velodrom Anna Meares di Brisbane.


Terdahulu, pada pusingan awal, Azizulhasni muncul pelumba terpantas dengan catatan masa 10.35 saat (s) pada saringan pertama dan Shah Firdaus memenangi saringan 2 dengan 10.53s.


"Kayuhan tidak seberapa kuat dan pecutan tidak di tahap terbaik. Tetapi Alhamdulillah ia sentiasa seronok untuk melengkapkan podium. Terima kasih banyak kepada persatuan berbasikal Australia kerana sudi menjadikan kami sebahagian daripada kejohanan berprestij ini," kata Shah Firdaus dalam hantarannya di media sosial.


Pada edisi lepas, Disember lalu, Azizulhasni, 33, bergelar 'The Pocket Rocketman', muncul juara manakala Shah Firdaus, 26, merangkul gangsa.


Pada acara pecut individu lelaki semalam, Azizulhasni dan Shah Firdaus masing-masing meraih pingat gangsa dan perak manakala Richardson, 22, memenangi saingan dengan mengalahkan Azizulhasni 2-0 untuk pingat emas.


Sementara itu, Azizulhasni, mengulangi bahawa Shah Firdaus mempunyai potensi besar untuk meraih emas pada Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini.


"Tiada kata-kata yang boleh mengambarkan acara akhir keirin hari ini tetapi persembahan hebat. Kayuhan yang baik oleh Shah Firdaus yang menampilkan taktik sempurna pada perlumbaan akhir dan saya tidak boleh lebih gembira dengan pingat perak hari ini.


"Pelumba muda ini adalah versi Lee Zii Jia (badminton) dalam acara berbasikal trek, " katanya dalam Fecbooknya.


Zii Jia, jaguh perseorangan lelaki negara, muncul juara All England selepas menewaskan pemain Denmark, Viktor Axelsen, 30-29, 20-22 dan 21-9 pada final, di Birmingham, England, Ahad lalu.


-- BERNAMA


bottom of page