• Arissa

Berita Messi ke PSG tidak gugat Cristiano Ronaldo - Bonucci

11 Ogos 2021

PENGHIJRAHAN Lionel Messi ke Paris Saint-Germain (PSG) tidak memberi kesan kepada masa depan Cristiano Ronaldo di Juventus, menurut rakan sepasukan, Leonardo Bonucci.


Pemenang Ballon d'Or enam kali, Messi, melengkapkan perpindahan ke PSG minggu ini selepas mengakhiri hubungannya selama 21 tahun dengan Barcelona.


Gergasi Perancis itu pernah dikaitkan dengan Ronaldo yang kini memasuki 12 bulan terakhir kontraknya bersama Juve.


Dengan jalan ke Parc des Princes seolah-olah telah dipotong oleh kedatangan Messi, Ronaldo diramalkan akan kekal di Turin sekurang-kurangnya hingga tahun depan.


Namun, Bonucci menegaskan bahawa perpindahan mengejut Messi itu tidak akan mempengaruhi di mana Ronaldo akan beraksi musim ini.


"Saya rasa Cristiano tetap akan kekal meskipun Messi tidak pergi ke PSG," kata pertahanan Juve itu kepada Gazzetta dello Sport.


"Bagi kami, Ronaldo adalah satu nilai tambah buat kelab dan saya yakin tahun ini lebih dari musim kebelakangan ini bahawa dia akan membantu kami mencapai kesemua matlamat."


Sejak Ronaldo menyertai Juventus daripada Real Madrid pada 2018, hanya Robert Lewandowski (103) yang telah menjaringkan lebih banyak gol dalam semua pertandingan berbanding penyerang Portugal itu (73 gol) di antara pemain lain dalam lima liga utama Eropah.


Penglibatan 83 gol Ronaldo sepanjang tempoh itu menyaksikannya berada di kedudukan keempat di belakang Lewandowski (121), Messi (106) dan Kylian Mbappe (97).


Walaupun Ronaldo terus menikmati musim produktif, tetapi Juve sekadar menghuni tangga keempat Serie A pada musim lalu.


Justeru, Bonucci, yang memainkan peranan utama dalam kejayaan Itali menjulang Euro 2020, berhasrat untuk merampas semula gelaran liga daripada Inter sebaik musim baru bermula kurang dari dua minggu lagi.


"Kami mahu membawa Scudetto pulang, tiada gunanya untuk berselindung," katanya.


"Apabila anda mewakili Juventus, ia harus menjadi objektif musim ini termasuk mengharungi kempen Liga Juara-Juara (UCL) yang cemerlang dan berjuang dalam semua kejohanan.


"Secara peribadi, saya berhasrat untuk meneruskan penampilan mantap dalam Euro yang lalu yang menyaksikan saya memainkan peranan utama, dan saya mahu melakukannya lagi bersama Juventus."



--AWANI