• Arissa Azman

Berjaya Corp kini pengendali rangkaian hotel terbesar di Iceland - Jalil

25 Ogos 2021

BERJAYA Corp Bhd (BCorp) kini merupakan pengendali hotel terbesar di Iceland menerusi anak syarikatnya, Berjaya Land Bhd (BLand).


Perkara itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Bcorp, Abdul Jalil Abdul Rasheed menerusi hantarannya di Twitter semalam.


"Kami kini memiliki 1,471 kunci merentasi 14 hotel pelbagai jenama.


"Ini menjadikan kami sebagai pengendali rangkaian hotel terbesar di Iceland," ujarnya menerusi hantaran tersebut.


Menurutnya, kebanyakan rangkaian hotelnya di luar negara masih bergelut dengan cabaran pandemik COVID-19.


Tetapi, sebaliknya, rangkaian kumpulan hotel di Iceland kembali pulih dengan cepat apabila sekatan kuarantin dihapuskan.


"Secara dasarnya, sektor hospitaliti berdepan tempoh mencabar sejak 18 bulan lalu apabila industri ini dikenakan sekatan pergerakan bagi mengekang penularan wabak ini.


"Ia hampir merekodkan sifar pendapatan tetapi dengan elemen kos tetap yang tidak boleh dikeluarkan," tambahnya.


Menerusi hantaran itu juga, Abdul Jalil memaklumkan, hotel-hotel tersebut beroperasi dengan jenama berbeza dan memenuhi keperluan pelbagai segmen dalam pasaran.


"Merujuk kepada namanya, hotel-hotel ini diperoleh daripada syarikat penerbangan nasional Iceland, Icelandair apabila mereka melupuskan perniagaan hospitaliti," katanya.


Beliau turut menyenaraikan nama hotel tersebut iaitu Icelandair Hotel, Hilton, Edda, Canopy dan Konsulat.


Berdasarkan laman web Icelandair Hotels, ia menunjukkan nama hotel yang berada di bawah bumbungnya termasuklah Icelandair Hotel, Hilton, Edda, Canopy, Konsulat dan Alda.


BLand memiliki hotel di Iceland menerusi Icelandair Hotels yang diletakkan kepada beberapa nama.


Pada 2019, BLand membeli 75% kepentingan dalam Icelandair Hotels bernilai AS$53.63 juta.


Urus niaga itu membolehkan BLand memasuki pasaran segmen hotel mewah di Iceland sejajar dengan perancangan BCorp untuk memperluaskan kepelbagaian geografi dan sumber pendapatan.


Menurut laman web BLand, setakat 18 Jun 2021, BCorp memiliki saham gabungan langsung dan tidak langsung sebanyak 78.63% dalam BLand, yang mengendalikan rangkaian hotel di beberapa negara termasuk Malaysia, Vietnam, Jepun, United Kingdom dan Iceland.



*Berita asal di DagangNews.com