• Arissa Azman

Bersatu akan bertanding di Parlimen Tuaran

22 Disember 2021

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tuaran berhasrat untuk bertanding kerusi Parlimen P.170 Tuaran pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.


Timbalan Ketua Bahagiannya, Datuk Abdul Kassim Razali berkata, berdasarkan kepada kekuatan akar umbi di bahagian itu, Bersatu berada di landasan tepat untuk bertanding kerusi Parlimen Tuaran.


Menurutnya, satu perundingan akan diadakan bersama komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) lain untuk mencapai kata putus bersama.

"Melihat kepada pengaruh, sokongan dan kekuatan Bersatu di Tuaran, sudah tiba masanya parti ini meletak calon bertanding pada PRU akan datang.


"Namun, Bersatu akan mengadakan perundingan dengan rakan-rakan dalam GRS bagi mencapai kata putus untuk mengelakkan pertembungan di antara satu sama lain di Parlimen Tuaran," katanya dalam satu kenyataan media, pada Selasa.


Jelasnya, kekuatan dan sokongan rakyat terhadap Ketua Badan Pimpinan parti, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah turut memberikan kelebihan positif untuk parlimen Tuaran dimenangi oleh Bersatu.


"Kalau melihat kepada sokongan akar umbi dan ahli Bersatu di Bahagian Tuaran ini, kita berada di landasan tepat untuk menuntut kerusi Parlimen P. 170 Tuaran pada PRU15 nanti.


"Ini juga merupakan permintaan dan kemahuan ahli-ahli kita di peringkat akar umbi.


"Namun, Bersatu Tuaran menyerahkan kepada kebijaksanaan Ketua Menteri Sabah, selaku Ketua Pimpinan Bersatu Sabah dan juga Ketua Bahagian Bersatu Tuaran berhubung perkara ini," katanya lagi.


Abdul Kassim berkata, Bersatu Tuaran juga terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan di dalam GRS mengenai perkara tersebut.


"Setakat ini, kita juga terbuka menuntut kerusi Parlimen Tuaran untuk ditandingi oleh Bersatu," katanya.


Untuk rekod, Parlimen Tuaran kini disandang oleh Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang menang atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan undi 22,494 mengalahkan pesaingnya pada PRU14.


Tumbangnya BN pada PRU14 menyaksikan Madius selaku Presiden UPKO bertindak mengetuai UPKO keluar sebagai rakan komponen parti BN dan seterusnya beralih sokongan kepada Warisan-PH.