• Arissa

BERSATU beri mandat kepada Muhyiddin tentukan calon Jemaah Menteri

24 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: BERSATU memberi mandat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menentukan cadangan nama pimpinan daripada parti itu menganggotai Jemaah Menteri baharu.


Memetik Sinar Online, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Razali Idris berkata, keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat yang diadakan baru-baru ini.


“Dalam mesyuarat yang berlangsung baru-baru ini, kita tidak bincang banyak mengenai menteri (daripada BERSATU) atau kementerian (yang perlu diberikan kepada BERSATU).


“Saya fikir hubungan Muhyiddin dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memang rapat. Kita dapat lihat hari pertama beliau (Ismail Sabri) dilantik (sebagai Perdana Menteri), beliau pergi ke rumah Tan Sri (Muhyiddin) dan bincang secara ilmiah.


“Jadi, kita tidak mahu ganggu (Muhyiddin untuk tentukan) siapa semestinya yang menjadi menteri daripada BERSATU,” katanya pada Isnin.


Jelasnya, selaku presiden parti dan berpengalaman menerajui kerajaan serta kabinet sebelum ini, Muhyiddin diyakini mampu membuat keputusan terbaik.


“Kita serahkan kepada Muhyiddin sama ada hendak tukar menteri yang lama atau hendak ganti yang baharu, kita beri mandat kepada beliau,” katanya.


Beliau berkata lagi, Ismail Sabri yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika era pentadbiran Muhyiddin juga diyakini berupaya membuat penilaian terbaik melantik barisan kabinet baharu nanti.


“Bagi saya, Ismail Sabri sudah tahu menteri mana (ketika di bawah pentadbiran Muhyiddin) yang berkemampuan dan tidak berkemampuan,” kata beliau.



--PN Online