top of page
  • Writer's pictureMatha Ahmad

Bersatu hantar notis kekosongan luar jangka, pilihan raya perlu diatur


KUALA LUMPUR 29 Dis: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan menghantar notis kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat selepas mendakwa berlaku kekosongan luar jangka susulan tindakan empat ahlinya yang bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), keluar parti baru-baru ini.


Naib Presidennya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, Bersatu berpendirian keempat-empat Ahli Parlimen berkenaan hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi mereka, menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.


Bersatu memohon kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat supaya perkara ini dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari dari tarikh penerimaan notis bertulis supaya proses pilihan raya dapat diatur bagi mengisi kekosongan tersebut," katanya dalam kenyataan berkenaan.

Empat ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).


Jelas Ahli Parlimen Beluran itu, melalui surat bertarikh 3 November 2022 daripada Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu itu telah mengesahkan bahawa keempat-empat ahli Dewan Rakyat tersebut adalah antara calon yang akan bertanding pada PRU15 sebagai anggota Bersatu.


Keahlian mereka dalam GRS juga adalah sebagai anggota parti Bersatu, kata Ronald

Beliau menambah, kenyataan Pengerusi GRS, yang juga Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada 2 November lalu turut mengumumkan bahawa terdapat enam calon daripada parti Bersatu akan mewakili GRS untuk bertanding dalam PRU-15.


namun,pada 10 Disember 2022, Hajiji telah membuat satu kenyataan media yang menyatakan bahawa kesemua pemimpin parti Bersatu Sabah telah keluar dari parti.


Susulan tindakan berkenaan, Ronald berkata, keahlian mereka sebagai anggota parti Bersatu telah gugur mengikut perlembagaan parti Bersatu dan perkara tersebut telah dimaklumkan melalui surat bertarikh 21 Disember 2022.


Pada 10 Disember, kepimpinan Bersatu Sabah yang dipimpin Hajiji mengumumkan meninggalkan Bersatu dan secara kolektif menjadi ahli GRS.


Sementara pada 12 Disember lalu, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun yakin empat ahli Parlimen gabungan itu tidak terjejas dengan Akta Anti-Lompat Parti.


GRS dan empat ahli Parlimen berkenaan, ujar beliau, menyedari sepenuhnya Akta Anti-Lompat Parti yang berkuatkuasa pada 5 Oktober lalu sebelum mereka bertanding sebagai calon untuk PRU15.

bottom of page