• newsatmy

Bersatu hormati keputusan UMNO, elak pertelagahan - Wan Saiful

20 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Keputusan UMNO untuk meninggalkan Perikatan Nasional (PN) perlu dihormati, namun kesatuan yang masih ada perlu terus dijaga keutuhannya.


Demikian harapan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang menjelaskan ia tidak lain adalah demi kelangsungan agenda Bumiputera yang secara tidak langsung menjadi asas kestabilan negara.


“Kita kekal dengan sikap kita iaitu kesatuan yang wujud antara parti-parti dalam kerajaan ini seboleh-bolehnya kita nak kekalkan.


“Itu tak pernah berubah dan setakat ini tak ada perbincangan untuk mengubah pandangan tersebut,” katanya ketika program Dialog Konsensus Nasional di Astro AWANI malam ini.


Turut menjadi panel pada program itu ialah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Naib Presiden PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.


Mengulas lanjut, Wan Saiful mengakui sudah mendengar khabar dan menjangkakan UMNO akan membuat keputusan demikian sebelum ini.


Katanya, UMNO berhak untuk berbuat demikian demi masa depan mereka dalam arena politik negara.


"Yang berlalu biarkan berlalu, yang penting apa yang tinggal perlu dipertahankan demi matlamat yang lebih besar untuk rakyat dan negara.


"Bukan mudah untuk membawa tiga parti besar yang menjadi teras dalam negara untuk duduk bersama dan pertelagahan hanya akan membawa kepada perpecahan," katanya.


Dalam pada itu, beliau juga gusar dengan perkembangan yang berlaku antara UMNO dan PKR.


“Sebab mungkin perbincangan ini berlaku dengan PKR, tetapi yang akan masuk sekali nanti adalah DAP juga. Berbincanglah antara UMNO-PKR, yang akan masuk ke Putrajaya nanti adalah DAP,” katanya. - AA