top of page
  • Writer's pictureNihaba

Bersatu JB Saran Elak Politik ‘Buka Aib’

29 November 2021

JOHOR BAHRU: Persidangan Bersatu Bahagian Johor Bahru semalam berjalan dengan pelbagai usul yang dibawa oleh para ahlinya.


Persidangan parti tersebut merupakan kali yang ke-3 berjalan serentak di semua bahagian seluruh negara.


Kehadiran seramai lima puluh tiga orang secara fizikal, manakala dua puluh tujuh ahli lagi secara maya. Persidangan dihadiri oleh dua belas cawangan Bersatu JB yang telah sah bersidang. Persidangan itu berlangsung di Dewan Jubli Perak Bandar Baru Uda selama dua jam bermula jam 11 pagi, mengikut SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).


Setelah kata-kata aluan oleh Ketua Bahagian Bersatu Johor Bahru, Tuan Hj Abdul Bakar Ali yang menyeru kepada penyatuan ahli-ahli Bersatu, usul-usul yang di bawa oleh ahli-ahli cawangan adalah menarik dan ‘panas’.


Salah seorang dari Srikandi (sayap wanita parti), menggesa Bersatu yang menganggotai Parti Perikatan Nasional, supaya segera mengubah logo parti daripada penulisan kepada yang berbentuk simbol supaya lebih mudah dikenali. “Warna juga memainkan peranan sebab warna kita seakan-akan warna Barisan Nasional”. Kenyataan itu merujuk kepada kekalahan Perikatan Nasional di Melaka akibat jenama itu tidak begitu sinonim dengan pengundi.


Ketua Cawangan Bersatu Bandar Baru Uda, Ustaz Norramadan bin Buan, yang juga merangkap Biro Agama Bersatu Bahagian JB, pula menyeru kepimpinan Bersatu Negeri Johor supaya tidak berpolitik membuka aib sesama saudara. “Saya lihat pada PRN Melaka tempohari.. tiada keberkatan kerana kempen kita terlalu fokus menyerang keperibadian pihak lawan”. Menurut beliau lagi, orang Islam adalah bersaudara dan strategi menyerang keperibadian pihak lawan sudah dipandang jelik oleh masyarakat. “Biarlah kita menjadi contoh pada masyarakat untuk melihat kebaikan dan menutup keaiban di dalam mengejar kemenangan politik”, tambah beliau.


Dalam usul secara bertulis pula, Timbalan Ketua Bersatu Johor Bahru Razrul Anwar Rusli menyeru kepimpinan bahagian dan Bersatu Negeri Johor untuk berjuang mendapatkan kuota rumah mampu milik buat ahli-ahlinya. “Sejak 2016 ahli akar umbi yang bersama-sama berjuang hingga kini, saya belum pernah dengar atau lihat ahli-ahli kita terutama pembeli rumah pertama mendapat kuota rumah mampu milik. Saya berharap kita perjuangkan ini, dan Menteri Besar Johor membantu terutamanya ahli-ahli armada kita yang baru pertama kali ingin beli rumah di Johor Bahru”, menurut usul bertulis tersebut.


“Dengan harga rumah yang mahal di Johor Bahru ini dan orang Melayu masih ketinggalan dari segi ekonomi dan pekerjaan, kita wajib berusaha membalas kesetiaan mereka pada parti. Bagi kepimpinan yang mempunyai kuasa di atas, tolong lihat keperluan, kebajikan dan kemajuan hidup ahli-ahli supaya perjuangan mereka dihargai”, tambah Razrul lagi.


Namun, terdapat kritikan semasa persidangan berkenaan isu pengendalian wang parti bahagian di mana ia disuarakan oleh ahli-ahli. Mereka meminta supaya pengurusan kewangan dilakukan dengan lebih telus dan peruntukan diberikan dengan lebih adil kepada semua cawangan terutamanya cawangan yang telah sah bersidang dan terbukti wujud mempunyai ahli.


“Sepanjang saya menjadi Naib Ketua Armada di sini, tiada bantuan pun diberikan keada saya untuk pasukan armada saya bergerak daripada pihak bahagian.. semua aktiviti kami lakukan sendiri. Jadi saya ingin tahu juga di mana wang ini dibelanjakan ?”, tegas Naib Ketua Armada Bersatu Johor Bahru, Zarief Ashraf Halid.


Persidangan itu turut dihadiri oleh wakil dari Parti PAS dan Gerakan.


Persidangan tamat pada jam 1230 tengahari, tanpa ada sokongan atau penutup kerana perdebatan di antara ahlli-ahli cawangan dan kepimpinan bahagian masih dilihat berterusan.

bottom of page