top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Bersatu Johor akan adakan mesyuarat mengenai Pilihan Raya Negeri

23 Januari 2022

JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor akan mengadakan pertemuan dengan semua ketua bahagian bagi membincangkan secara panjang lebar persiapan menghadapi pilihan raya negeri akan datang.


Setiausahanya Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata jentera partinya juga akan disertakan dalam mesyuarat yang akan diadakan tidak lama lagi.


“Selain itu, mesyuarat dan perbincangan juga akan diadakan dengan parti komponen Perikatan Nasional, PAS dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bagi tujuan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi perkenan baginda untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Johor, sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya negeri yang awal.


Pada pilihan raya umum ke-14, Bersatu, yang ketika itu berada dalam gabungan Pakatan Harapan memenangi sembilan daripada 17 kerusi DUN yang ditandinginya.

bottom of page