top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

BERSATU Johor terus sokong kerajaan sedia ada

15 NOVEMBER 2021

ISKANDAR PUTERI: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor memilih untuk tidak menarik sokongan terhadap kerajaan sedia ada yang akan mengakibatkan kerajaan negeri tumbang.


Ketua Penerangan BERSATU Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, pada masa ini semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BERSATU kekal menyokong kerajaan sedia ada dan tidak mahu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berlaku.


Tegas beliau, BERSATU Johor tidak akan termakan atau terpengaruh dengan provokasi Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang mencabar mereka untuk menarik sokongan terhadap Menteri Besari, Datuk Ir. Hasni Mohammad.


Jelasnya, ADUN BERSATU Johor tidak akan bertindak melulu, sebaliknya sebarang keputusan dibuat mengikut kebaikan jangka masa panjang dan bukan berdasarkan emosi atau provokasi.


“Ini kerana kita memikirkan kesejahteraan rakyat dan bukan sebaliknya. Kalau bubar, kita (BERSATU) banyak kehilangan, tiada jawatan Exco, tidak ada apa tetapi bukan kerana itu, kita fikirkan kesinambungan kerajaan untuk membantu rakyat.


“Fikir panjang, sekurang-kurangnya sehingga apabila tiba masanya (Pilihan Raya Umum),” katanya ketika selepas menghadiri Mesyuarat Sesi Roadshow Pasca RMK-12 di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, di sini semalam.


Pada 12 November lalu, Shahrir menerusi hantaran dalam Facebook miliknya menulis, UMNO Johor bersedia menghadapi PRN jika Perikatan Nasional (PN) mahu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri yang dipimpin oleh UMNO.


Sehari kemudian Pengerusi PN, Tan Seri Muhyiddin Yassin menyifatkan veteran UMNO itu sebagai ‘bodoh’ dan ‘tidak bertanggungjawab kerana mencabarnya mengarahkan ADUN BERSATU menarik sokongan terhadap kerajaan negeri yang diketuai UMNO.


Mengulas lanjut, Mohd. Solihan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri berkata, tindakan Shahrir yang memprovokasi Muhyiddin turut tidak disenangi segelintir ahli UMNO dan perkara itu disampaikan kepada pihaknya.


“Bukan sahaja kami (BERSATU) tetapi orang UMNO Johor juga tidak puas hati dengan kenyataan dibuat Shahrir. Dia tu orang tua, yang berpengalaman dan sepatutnya tidak berfikir singkat sedemikian dengan mencabar kita.


“Memang betul kata Tan Sri Muhyiddin, kalau dia arah kita untuk tarik sokongan, kita orang parti. Tapi kita pilih untuk tidak berbuat seperti itu kerana di sini Johor lain, kita tak nak buat macam tu. Rakyat lantik kita untuk kita berkhidmat, itu sebab utama,” katanya.

bottom of page