• Hanna

Bersatu Kedah mahu bertanding lebih kawasan

29 Januari 2021

ALOR SETAR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kedah berhasrat untuk kekal bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kawasan Parlimen yang dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).


Dalam masa yang sama, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Kedah, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah berkata, pihaknya juga akan bertanding di beberapa kawasan DUN dan Parlimen baru yang berpotensi untuk capai kemenangan.


Beliau juga berkata, pada masa ini, parti itu telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang ditandingi oleh Bersatu pada pilihan raya tersebut.


Tambahnya lagi, calon-calon yang berkelayakan untuk bertanding di kawasan berkenaan telah dikenal pasti dan sedang dianalisis sebelum diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.


“Saya percaya, agihan kerusi yang melibatkan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN) Kedah telah mencapai kata sepakat yang baik bagi menjamin kemenangan besar pada PRU-15 nanti.


“PN Kedah telah mengadakan perbincangan awal mengenai agihan kerusi dan beberapa siri perbincangan akan diadakan lagi selepas ini diantara Bersatu, Pas dan UMNO.” Katanya.


Pada PRU-14 yang lalu, Bersatu Kedah memenangi 5 kawasan DUN dan 3 kawasan Parlimen.


Walau bagaimanapun, Mohd Suhaimi enggan mendedahkan jumlah kawasan yang Bersatu mahu bertanding kerana masih terlalu awal dan masih di peringkat rundingan lagi.