top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

BERSATU komited teruskan agenda perpaduan Politik Melayu

26 September 2021

KUALA LUMPUR: BERSATU yang menerajui Perikatan Nasional (PN) akan meneruskan agenda perpaduan politik Melayu Islam demi kemakmuran rakyat, bangsa dan agama.


Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata agenda tersebut perlu diteruskan biarpun UMNO belum menyatakan pendirian jelas sama ada mahu terus bersama gabungan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang atau sebaliknya.


“Fokus kita adalah PN, kuatkan PN untuk jaga rakyat, dan memulihkan negara.

“Kerjasama gabungan parti dalam PN akan terus diperkukuhkan di peringkat nasional, negeri, parlimen dan DUN.


“PN tidak akan terkesan sekiranya ada pertembungan banyak penjuru. Kita akan jalan terus bersama ‘founding partners’ kita dalam PN iaitu PAS, GERAKAN, SAPP dan STAR,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat dilaporkan berkata, UMNO tidak mempunyai pendirian yang jelas sama ada bersama PN atau mempunyai pilihan tersendiri bagi menghadapi PRU15 nanti.


Ahli Parlimen Pagoh itu memberitahu, walaupun mempunyai hubungan dalam kerajaan di peringkat nasional dan negeri, namun UMNO tidak menyatakan pendirian mereka dan semuanya bergantung kepada pilihan mereka.


Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata PN sebelum ini telah meletakkan standard yang tinggi kepada negara yang melibatkan penegasan kepada isu ketelusan, integriti, menolak salahlaku dan menolak penyelewengan.


“Saya menyeru semua komponen PN untuk membina jentera pilihanraya secara bersama.


“Semangat ukhuwah dan Keluarga Malaysia harus kita jiwai dan zahirkan dalam perjuangan membela rakyat. Jangan berpecah. Bina kekuatan parti dan gabungan kita demi rakyat.


“Kita mesti bergerak bersama dan aturkan aktiviti secara bersama di seluruh negara supaya rakyat nampak bahawa kita benar-benar ikhlas menjaga perpaduan dan kestabilan dalam negara,” katanya.

bottom of page