top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

BERSATU Kota Melaka kecam Noor Effandi sokong PH, gara-gara ingin kekal kerusi

5 Oktober 2021

KUALA LUMPUR: BERSATU Kota Melaka mengecam tindakan ADUN Telok Mas Datuk Noor Effandi Ahmad yang membelakangkan parti sendiri apabila sanggup berkomplot bersama tiga lagi ADUN untuk menjatuhkan kerajaan negeri Melaka pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali selaku Ketua Menteri.


Ketua Bahagian BERSATU Kota Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim berkata tindakan tidak matang bekas pensyarah universiti swasta itu dibuat gara-gara ingin mengekalkan kerusi yang disandangnya.


“Dia tidak ada pengalaman dalam politik dan tindakannya tidak matang.


“Ini semua gara-gara ingin mengekalkan kerusi untuk dia dicalonkan semula dalam mana-mana parti, dengan harapan parti tersebut mencalonkan dia semula dalam pilihan raya,” katanya ketika dihubungi Wacana.my.


Beliau mengulas tindakan Noor Effandi bersama tiga ADUN lain yang mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.


Hishamuddin berkata ADUN Telok Mas itu telah gugur keahlian BERSATU secara automatik apabila menandatangani SD menyokong PH.


“Secara automatik, keahliannya gugur. Parti akan keluarkan kenyataan segera untuk maklum situasi terkini.


“Apa yang dia buat membuatkan rakyat marah kepada BERSATU, terutamanya di DUN Telok Mas.


“Lagipun, dia tidak mengganggotai pentadbiran bahagian dan dia tidak melibatkan diri jawatankuasa bahagian. Bagaimanapun, kita kesal tindakan itu,” katanya.


Ketika ditanya mengenai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri, Hishamuddin berkata parti itu terbuka kepada perbincangan untuk mana-mana parti berbincang.


Katanya, ini bagi memastikan Melaka kekal tidak jatuh ditangan PH.


“Kita bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri, terbuka kepada perbincangan untuk mana-mana parti berbincang.


“Jika Umno nak bertanding sendiri, kita terpaksa bertanding 3 penjuru.


“Tetapi di Melaka, jika PN-BN membentuk kerjasama bertanding dua penjuru menentang PH, kita boleh menang lebih 20 kerusi daripada 28 kerusi. Kita akan mendapat majoriti besar. Ini bermakna Melaka akan menjadi kerajaan Melayu,” katanya.


Semalam, empat ADUN kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.


Mereka ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).


Setakat ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 14 kerusi Barisan Nasional (BN), Bersatu (2), DAP (7), PKR (2) , Amanah (2) dan Bebas (1).

bottom of page