top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Bersatu lulus pindaan Perlembagaan

20 Disember 2021

KUALA LUMPUR: BERSATU meluluskan sembilan pindaan kepada perlembagaan parti bagi penubuhan sayap baharu Srikandi Muda pada Perhimpunan Agung Tahunan Keempat BERSATU 2021, hari ini.


Pindaan Perlembagaan BERSATU itu diluluskan sebulat suara tanpa dibahaskan.


Usul pindaan perlembagaan itu dibentangkan oleh Naib Ketua Srikandi Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan disokong Naib Ketua Armada Ceasar Mandela Malakun di hadapan kira-kira 1,000 perwakilan yang hadir.


“Untuk makluman sidang perwakilan, hasil daripada penubuhan sayap baharu iaitu Srikandi Muda maka perlembagaan juga perlu dipinda dalam beberapa Fasal yang berkaitan. Oleh kerana itu, kebanyakan pindaan adalah berkaitan penubuhan Srikandi Muda,” kata Mas Ermieyati.


Perkara yang dipinda antara lain membabitkan fasal berkaitan pendaftaran keahlian yang memasukkan jawatan Ketua Srikandi Muda, tanggungjawab dan hak ahli, pemberhentian dan pemecatan ahli serta berkenaan tanggungjawab dan kuasa Majlis Pimpinan Tertinggi.


Selain itu, fasal berhubung Badan Pimpinan Negeri turut dipinda bagi membolehkan Ketua Srikandi Muda pusat melantik Naib Srikandi Muda negeri sekali gus menjadi anggota badan pimpinan negeri serta membabitkan Majlis Pimpinan Tinggi dan berhubung Majlis Pimpinan Tertinggi serta mengenai penubuhan Sayap Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Sayap Bersekutu.

Perhimpunan berkenaan juga turut meluluskan usul memansuhkan yuran pendaftaran ahli sebanyak RM4.

bottom of page