top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

BERSATU mahu promosi sayap bukan Bumiputera ke seluruh negara

15 Disember 2021

PASIR GUDANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan mengadakan siri jelajah untuk mempromosikan Sayap Bersekutu parti itu bagi menarik penyertaan masyarakat bukan Bumiputera menjadi ahli.


Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPN) BERSATU, Dr. Chong Fat Full berkata, setakat ini sayap berkenaan sudah ditubuhkan di dua negeri, iaitu Sabah dan Johor.


“Sayap Bersekutu BERSATU sudah mengadakan perbincangan dua hari lepas dan kita perlu buat banyak promosi yang bertujuan untuk maklumkan orang ramai bahawa mereka ada pilihan (parti politik) baharu.


“Kedua kita nak orang tahu bahawa BERSATU sudah ada satu sayap baharu untuk rakyat Malaysia bukan Bumiputera dan itu akan bantu masyarakat lihat parti ini dengan perspektif baharu.


“BERSATU bukan lagi alternatif kepada UMNO atau tempat berkumpulnya bekas ahli UMNO, dia sudah tidak sama. Kita sudah masuk elemen kepelbagaian kaum,” katanya selepas melawat Projek Aquagro di Kawasan Rukun Tetangga Kota Masai, di sini hari ini.


Beliau yang juga Naib Ketua Sayap Bersekutu BERSATU Pusat dan Ketua Bersekutu BERSATU Johor berkata, setakat ini sayap berkenaan di Johor mempunyai seramai 5,000 ahli dan pihaknya komited untuk menambah jumlah berkenaan pada masa depan.


“Secara rasminya kita sudah tubuhkan sayap di Sabah dan Johor, selepas ini kita akan pergi semua negeri tubuhkan sayap ini, Kedah, Melaka, Pahang, Selangor, wilayah, semua tempat.


“Semasa kita hendak sediakan senarai itu, kita agak berhati-hati kerana mahu memastikan ahli adalah orang yang akan menyokong perjuangan parti dan bukan mudah keluar selepas itu,” ujarnya.


Sementara itu, Fat Full yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hel Ehwal Pengguna negeri turut memberitahu, pihaknya bercadang menggunakan nama Kesatria sebagai nama rasmi bagi sayap baharu tersebut.


“Ini sesuatu yang belum diumumkan dan belum rasmi, masih cadangan. Kita ada Armada, Srikandi, jadi nama Sayap Bersekutu pelik sikit. Jadi, ada cadangan untuk menggunakan nama Kesatria.


“Kesatria merupakan perkataan Sanskrit yang membawa maksud pahlawan, tetapi ini kena dapat persetujuan Pusat. Kita cadangkan dan akan bawa dalam mesyuarat MPT BERSATU,” katanya.

bottom of page