top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

BERSATU Melaka kekal sokongan kepimpinan Kerajaan Negeri

19 Ogos 2021

MELAKA: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka sepakat untuk terus kekal menyokong kerajaan negeri pimpinan UMNO.


ADUN Paya Rumput yang juga ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan rakannya, ADUN Telok Mas Datuk Noor Effandi Ahmad berkata mereka akan terus mendukung kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.


Mohd Rafiq, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka berkata ini bukan masa terbaik untuk bertelingkah merebut kuasa ataupun menjatuhkan mana-mana pemimpin kerana rakyat menuntut supaya fokus diberikan untuk menangani pandemik COVID-19 dan membangunkan semula sektor ekonomi.


“Kita merasakan cukup-cukuplah kita berpolitik, cukup-cukuplah menggerakkan muslihat politik untuk menjatuhkan perdana menteri atau pemimpin-pemimpin kerajaan lain.


“Saya tidak berminat untuk terlibat dengan segala percaturan politik dan fokus saya adalah untuk bantu rakyat seramai mungkin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Kepada Atlet Badminton Negara Aaron Chia di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.


Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan meneruskan insentif Gerai Prihatin Rakyat dalam usaha memberi ruang kepada masyarakat setempat untuk memperkasa dan membangunkan semula ekonomi.


“Saya akan meneruskan Insentif Gerai Prihatin rakyat yang telah dilakukan di Stadium Hang Jebat, Ayer Molek, Serkam dan Telok Mas dan insya-Allah kita akan perluaskan lagi ke Parlimen Masjid Tanah dan Parlimen Alor Gajah,” katanya.



--PN Online

bottom of page