top of page
  • newsatmy

Bersatu Pontian: “Mana ada duit nak beli ahli dan sokongan”



PONTIAN: Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pontian, Encik Matharuzaman Ahmad menafikan dakwaan terdapat cubaan merekrut ahli UMNO, untuk memperkasakan PBBM selain ingin melemahkan UMNO.


“Bagaimana kami ingin membeli ahli UMNO dengan nilai ringgit Malaysia 100 seorang seperti dakwaan sebahagian pemimpin UMNO untuk menjadi ahli BERSATU sedangkan parti kami tidaklah semewah UMNO?


“Kami sendiri mengamalkan konsep kesederhanaan di dalam menguruskan bahagian dan cawangan lebih-lebih lagi sumber dana untuk aktiviti parti dan masyarakat sebahagian besarnya adalah hasil dari sumbangan ahli parti dan masyarakat setempat, nak bayar sewa pejabat pun kadangkala tiada duit,“ ujarnya sambil berseloroh ketika mengulas dakwaan Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.


Ulasnya, politik wang mungkin bukan cara untuk partinya mengukuhkan kedudukan mereka. Membeli ahli dengan wang bukan budaya Bersatu Pontian dan jika ini yang diamalkan akan menjadikan parti Bersatu rosak seperti sesetengah parti yang kini tengah gilakan kuasa.


Mungkin bagi UMNO budaya politik wang sudah sebati pada mereka.Tambah beliau lagi, tuduhan UMNO adalah satu fitnah dengan cuba memberi gambaran yang salah pada rakyat seolah-olah budaya parti Bersatu sama sahaja seperti budaya UMNO, hanya mengejar jawatan demi wang dan kuasa.


Beliau berkata, partinya berharap dapat merekrut akar umbi UMNO yang kecewa dengan hala tuju UMNO, juga dikalangan mereka yang tidak menjadi mana-mana ahli parti secara sukarela.


Tambahnya lagi, ahli bahagian yang diabaikan kepimpinan UMNO majoritinya menunjukkan minat untuk menyertai PPBM.


“Ada sebahagian yang setuju menyertai PPBM, dan maklum balas yang kami terima setakat ini menunjukkan secara jelas bahawa akar umbi tidak lagi mengikut jejak pemimpin tempatan mereka secara membuta-tuli. PPBM adalah parti baru, dan untuk membina kesetiaan bukanlah suatu tugas yang mudah.


"Bagi kawasan-kawasan di mana pemimpin UMNO mengabaikan kawasan pilihan raya mereka, tahap kejayaan untuk merekrut ahli adalah di luar jangkaan dan sangat memberangsangkan.


“Walaupun tidak pasti, tetapi kami akan berusaha dengan lebih gigih untuk menarik minat lebih ramai orang untuk menyertai Bersatu, tidak kiralah daripada kalangan ahli PKR, Amanah, DAP mahupun UMNO.


“Politik wang biasanya berlaku di dalam usaha untuk mengukuhkan kerjasama di peringkat negeri dan persekutuan semasa pemilihan parti dan pilihan raya umum.


“Ia boleh merangkumi wang tunai, tanah, jawatan dan faedah istimewa. Hakikatnya, ia sesuatu yang sangat sukar dilakukan lebih-lebih lagi untuk menarik ahli UMNO menyertai Bersatu kerana tiada dana khas untuk perkara sedemikian dan biasanya ajakan kami akan berakhir dengan sindiran sinis apabila mereka bertanyakan faedah yang bakal diperolehi jika menyertai kami dan kami gagal menjanjikan apa-apa,” kata Matharuzaman.


Terdahulu, penganalisis politik, Encik Azmi Hassan berkata, ada betulnya dakwaan politik wang digunakan untuk memikat pemimpin akar umbi UMNO ke parti lain.


“Ia boleh difahami bagi parti politik mencari ikon tempatan. Tetapi, mereka memerlukan dorongan. Ada betulnya juga (politik wang),” katanya kepada FMT.


Beliau berkata, PPBM sebaliknya perlu memikat ikon tempatan tanpa ikatan dengan UMNO untuk mengelakkan provokasi terhadap parti lama, tetapi strategi itu salah, walaupun ahli UMNO yang tidak berpuas hati mungkin menjadi sasaran mudah.


Katanya, semua perbincangan mengenai perpaduan orang Melayu antara UMNO, PPBM dan PAS bakal menjadi sia-sia, sekiranya wang digunakan untuk memancing ahli agar melompat parti. Sebaliknya, ia hanya akan melemahkan gabungan parti pemerintah.


“Sangat menyedihkan wang digunakan untuk memikat pemimpin. Ini menunjukkan kurangnya kematangan politik,” katanya lagi.


Perunding strategi politik, Syed Arabi Idid pula berkata, sebagai parti nasional, PPBM perlu mengembangkan sayapnya dengan bantuan ahli politik berpengalaman di pelbagai kawasan.


“PPBM berkemungkinan besar menyerang akar umbi UMNO. Oleh kerana PPBM mempunyai ideologi sama dengan UMNO, maka lebih mudah untuk mereka mendekati pemimpin UMNO,” katanya kepada FMT.


Syed Arabi dari Universiti Islam Antarabangsa berkata situasi itu membuka peluang kepada politik wang, tetapi ahli politik “tidak melihatnya sebagai politik wang, sebaliknya sebagai sebahagian daripada perbelanjaan mereka untuk mendapatkan pengundi.”


Katanya, walaupun politik wang mungkin dapat menarik perhatian sesetengah orang ‘atas pagar’, ia tidak dapat membeli kesetiaan kerana “orang mungkin akan mengambil wang anda dan tidak mengundi anda”.


“Begitu juga, orang seterusnya yang tampil dengan wang tunai lebih banyak dapat memancing individu itu kerana wang ringgit dan bukan atas dasar prinsip perjuangan dan kepentingan rakyat,” katanya lagi.


bottom of page