top of page
  • zaman

BERSATU Sabah pertahan enam kerusi Parlimen


KOTA KINABALU, 11 Ogos – BERSATU Sabah akan mempertahankan enam kerusi Parlimen yang disandang wakil rakyat parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).


Ketua Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun, berkata enam kerusi berkenaan ialah Kudat, Ranau, Beaufort, Sipitang, Beluran dan Libaran.


Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Beaufort menegaskan pihaknya tidak berkompromi dalam mempertahankan semua kerusi terbabit.

“Srikandi BERSATU Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Kita sewajarnya mempertahankan kerusi yang dimenangi,” katanya dalam kenyataan.

.

Ketika ini, kerusi Parlimen Kudat diwakili Datuk Abdul Rahim Bakri, diikuti Yamani Hafez Musa (Sipitang), Datuk Jonathan Yassin (Ranau), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Edris (Libaran).


Sementara itu, Azizah turut menggesa seluruh jentera Srikandi BERSATU Sabah bersiap sedia menghadapi PRU-15 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.


Katanya, berdasarkan senario politik semasa, ada kemungkinan PRU-15 diadakan lebih awal pada bila-bila masa dari sekarang.

“Srikandi BERSATU akan terus memperkasakan program mendekati rakyat selain melakukan proses tambah nilai untuk memperkasakan jentera parti menghadapi PRU-15,” katanya.

Beliau berkata, usaha mengukuhkan semangat solidariti dan jati diri turut ditekankan bagi memantapkan parti untuk menghadapi PRU-15.


Pada masa sama, katanya, Srikandi BERSATU Sabah juga memberi tumpuan untuk mendekati pengundi muda bermula dari umur 18 tahun di setiap kawasan Parlimen dan memahami isu yang mereka hadapi.

“Kita perlu mendekati dan lebih kerap turun padang menemui golongan muda bagi membolehkan kita memahami kehendak dan keperluan generasi berkenaan,” katanya.

bottom of page