top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

BERSATU tidak terhegeh-hegeh jika UMNO tidak mahu

29 September 2021

JOHOR BAHRU: BERSATU tidak akan terhegeh-hegeh jika UMNO tidak mahu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.


ADUN BERSATU Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, BERSATU sudah bertoleransi dan berkorban hingga sanggup memberi jawatan Menteri Besar di Johor dan Perak termasuk jawatan Perdana Menteri kepada UMNO.

Katanya, sekiranya semangat setiakawan tersebut tidak dihargai, maka wajar Bersatu dan PN menentang UMNO di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen khususnya di Johor.


“Pada PRU15 nanti, BERSATU akan bersama parti yang mahu bekerjasama dengan kita sahaja, kalau UMNO tidak mahu apakah daya. Kita harapkan gabungan BERSATU, Pas dan Gerakan dalam PN. Sebelum ini semua sudah kita lakukan atas semangat PN, apa lagi UMNO mahu.

“Kalau UMNO memilih untuk tidak bersama PN, kemungkinan besar undi Melayu akan berpecah, jadi terpulang kepada UMNO. Masalah tidak mahu bergabung dengan BERSATU dan PN ini kita lihat atas pengaruh ‘kluster mahkamah’ yang semakin terdesak. “Saya lihat Perdana Menteri tiada masalah untuk bekerjasama tetapi kluster mahkamah ini yang buat hal atas kepentingan diri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jualan Amal di Permas Jaya, di sini hari ini.


Jumaat lalu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BERSATU masih belum jelas dengan hala tuju UMNO sama ada akan terus bersama-sama dalam PRU15 atau parti itu mempunyai pilihan lain.


Bekas Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, pihaknya bersedia dengan segala kemungkinan dan tidak mempunyai masalah untuk terus bekerjasama dengan UMNO dalam PRU15 jika mereka memilih untuk bersama.


“Jika mereka sebahagian daripada kita, kita akan bekerjasama. Jika tidak, kita akan menentang mereka pada PRU akan datang. Ini adalah prinsip kita yang mana saya rasa ia sememangnya diterima oleh semua ahli BERSATU,” ujar Ahli Parlimen Pagoh itu.


Mengulas lanjut, Che Zakaria turut memberitahu, pihaknya berpendapat BERSATU adalah parti paling ideal dan relevan dalam PRU15 terutama untuk orang Melayu dan bumiputera membuat pilihan sekali gus menggantikan UMNO. “Bersatu konsisten dengan perjuangan asal penubuhannya iaitu menolak kleptokrasi dan amalan rasuah. Kita bukan sahaja mempertahankan hak dan kepentingan bumiputera tetapi semua kaum di negara ini.

“Jika mahu bekerjasama memikirkan penyelesaian masalah rakyat, mari kita duduk bersama-sama. Sebaliknya jika masih dengan perangai lama, mengejar projek, kekayaan dan mementingkan diri sendiri, ini kita perlu tolak,” ujarnya.


bottom of page