top of page
  • zaman

BERSATU wadah politik paling sesuai untuk Zafrul


JOHOR BAHRU, 7 Ogos – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz disaran menyertai BERSATU sebagai wadah politik beliau kerana dilihat lebih iklhas dan sesuai dengan perjuangannya.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Johor, Mohd Solihan Badri berkata, ini kerana parti itu yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin amat jelas dan ikhlas berjuang membanteras rasuah.

Menurut Ketua Bahagian BERSATU Ledang, ini termasuk melaksanakan pembaharuan landskap politik dan pentadbiran kerajaan berintegriti.

“BERSATU adalah wadah perjuangan politik yang paling sesuai untuk Menteri Kewangan itu apatah lagi Tan Sri Muhyiddin yang mencadangkan beliau dilantik menjadi senator dan seterusnya mengisi jawatan tersebut.

“Bagi BERSATU, kami tiada masalah dengan niat Tengku Zafrul menyertai politik secara aktif untuk meneruskan pembaharuan fiskal negara, tetapi kami yakin ia hanya sia-sia jika beliau berada dalam parti yang salah,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada 31 Julai lalu Tengku Zafrul dilantik Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor sempena Konvensyen BN Selangor sekali gus menguatkan spekulasi bahawa bekas tokoh perbankan itu bakal bertanding sebagai calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mohd Solihan berkata, BERSATU yakin matlamat pembaharuan fiskal itu hanya dapat direalisasi dan disempurnakan menerusi visi induk pembaharuan landskap politik serta pentadbiran negara yang diperjuangkan Muhyiddin bersama-sama parti dalam Perikatan Nasional (PN).

“Jadi, jika beliau mahu menyertai UMNO, kita semua tahu parti itu diterajui kepimpinan yang ketirisan integriti malah ada yang telah didapati bersalah oleh mahkamah kerana terlibat dengan kes rasuah serta melakukan penyelewengan,” katanya.

Katanya, keputusan Tengku Zafrul menyertai UMNO hanya akan mengecewakan rakyat dan perasaan itu akan dizahirkan pengundi pada PRU15 kelak dengan tidak mengundi di kawasan beliau bertanding sama ada kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Saya ingin mengibaratkan, jika beliau mahu menjual produk berkualiti biarlah produk itu dijual di kedai yang bersih, tersusun serta pemiliknya sentiasa jujur dengan tidak melakukan penipuan dalam jual beli kepada pembeli.

“Jadi kalau betul-betul mahu berjuang dan meneruskan reformasi fiskal maka berjuanglah bersama Tan Sri Muhyiddin. Jika Tengku Zafrul salah memilih parti, ia akan berkesudahan dengan hasrat yang kecundang kerana pemimpin UMNO pasti tidak mengizinkan pembaharuan dilakukan untuk menggugat mereka,” katanya.

Malah katanya, ada ura-ura kepimpinan UMNO untuk mengangkat beliau sebagai ‘poster boy’ juga sekadar umpan untuk mengeksploitasi personaliti Menteri Kewangan itu untuk kepentingan parti semata-mata.

Pada sisi yang lain, beliau menyarankan Tengku Zafrul berdiri dan bertanding PRU15 atas tiket calon Bebas dan parti yang menang pilihan raya itu akan mengangkat beliau menjadi menteri dalam kabinet kerajaan mereka.

bottom of page