top of page
  • newsatmy

'Betul ke Bohong? Kuasa 2' edisi khas Aidilfitri di Astro Warna

11 Mei 2021

HARI RAYA Aidilfitri ini, PETRA Entertainment akan mempersembahkan sekuel rancangan permainan komedi popular ‘Betul ke Bohong?’ yang akan disiarkan secara eksklusif di saluran 127 dan107 (HD) Astro Warna dari 13 Mei 2021 sehingga 16 Mei 2021 jam 5.30petang.


Rancangan berjudul ‘Betul ke Bohong? Kuasa 2 (edisi khas Hari Raya) bakal menampilkan selebriti kegemaran anda yang akan dikenakan kejutan elektrik jika kalah.


Selebriti kegemaran anda bakal mendedahkan kisah-kisah aneh dan memalukan tentang diri mereka –ada yang benar dan ada yang tidak. Dan tugas pasukan lawan adalah untuk memastikan kebenaran (Betul) atau kepalsuan (Bohong) kisah tersebut. Tiap pasukan akan mendapat satu markah jika tekaan benar atau mereka mungkin akan dikenakan kejutan elektrik oleh pengacara kerana tekaan yang salah.


Untuk menjadikan program ini lebih menarik, rancangan ini telah dilanjutkan menjadi sejam yang penuh dengan jeritan dan kegilaan dengan dua pusingan permainan, seorang selebriti misteri dan sudah tentu denda yang paling dinantikan di mana seluruh pasukan yang kalah terpaksa duduk dan dikenakan kejutan elektrik!


Rancangan komedi ini pasti menghiburkan seisi keluarga dan akan menjanjikan hilai tawa tanpa henti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.


PETRA Entertainment, yang juga sebahagian daripada divisi media di bawah PETRA Group, terdiri daripada pasukan berpengalaman luas dan berbakat yang fokus dalam menciptakan harta intelektual meliputi siaran berformat tradisional dan bukan tradisional buat tontonan tempatan serta antarabangsa.


“Kami ingin mempersembahkan Betul ke Bohong? Kuasa 2 semasa Hari Raya untuk membawa keriangan dan hiburan semasa perayaan ini, khasnya kerana ramai orang yang sedang menghadapi saat-saat sukar sebab tidak dapat melawat ahli keluarga mereka,” kata Datuk Afdlin Shauki, Ketua Eksekutif PETRA Media.


“PETRA Entertainment mempunyai banyak rancangan untuk bulan-bulan yang akan datang termasuk memberi fokus kepada jenama platform OTT (Over-The-Top/ kandungan program dalam talian) mereka sendiri disamping kandungan dan tajuk-tajuk lain. PETRA Entertainment juga ingin menerajui cara penyebaran bentuk kandungan baru termasuk Realiti Maya dan Penekanan (Virtual and Augmented Reality),” tambahnya.


Jangan lupa saksikan Betul Ke Bohong Kuasa 2, edisi khas Hari Raya 2021 di saluran 127 dan107 (HD) Astro Warna dari 13 Mei 2021 sehingga 16 Mei 2021 jam 5.30 petang.

-Astro Awani

bottom of page