Big Stage 2022: Mommy "Jerung Merah" sedia beraksi
20 Januari 2022
KUALA LUMPUR: “Beri laluan, beri laluan, Mommy Jerung Merah nak lalu ni boh”
Kalau dengar sahaja tagline ini di aplikasi Tiktok, pasti anda sudah dapat membayangkan bagaimana aksi yang ditonjolkan oleh penyanyi baharu, Sofiaa Marieylla bersama skuadnya.
Namun kali ini, adalah peluang anda untuk melihat bagaimana Sofiaa beraksi di atas pentas Big Stage apabila dia berjaya menjadi salah seorang peserta program nyanyian tersebut.
Walaupun baru setahun jagung di dalam dunia nyanyian, pelantun lagu Akulah Jerung Merah ini bersedia untuk bersaing bersama dengan peserta lain dalam merebut gelaran juara.
“Gementar itu ada untuk berada di pentas Big Stage sebab saya tidak mempunyai sebarang pengalaman, namun bagi saya ia adalah satu cabaran buat saya,”
“Saya bersedia untuk bersaing dengan peserta-peserta lain dan akan cuba belajar sebanyak mungkin sepanjang berada di dalam Big Stage,” katanya kepada Astro AWANI.
Pada masa sama, Sofiaa juga menyatakan bahawa dia tidak meletak sebarang sasaran untuk program nyanyian ini, kerana baginya itu semua adalah rezeki.
“Saya tak nak letak sebarang sasaran, bagi saya kalah menang itu adat, dapat maju ke minggu demi minggu itu juga satu rezeki, apa yang penting adalah saya dapat belajar dengan mereka yang betul-betul berpengalaman untuk menjadi seorang penghibur yang lebih baik,” tambahnya.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya adakah Sofiaa akan membawa skuad jerung merah beraksi bersamanya di atas pentas Big Stage akan datang namun Sofiaa hanya terseyum dan meminta peminat untuk menantikkannya.
Juara ‘Big Stage 2022’ akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing pula akan memenangi RM50,000 dan RM25,000 beserta trofi.
Program yang dikendalikan oleh Alif Satar dan Sherry Al-Hadad itu akan bersiaran secara langsung selama lapan minggu dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada setiap Ahad, jam 9 malam mulai 6 Februari 2022.
Comments